Hajiji dan para pemimpin parti komponen GRS menunjukkan isyarat bagus pada pertemuan minum petang itu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, semua dalam keadaan baik dalam keluarga Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Menteri mengadakan pertemuan minum petang bersama kesemua tujuh presiden komponen GRS di Sri Gaya di sini hari ini, yang disifatkannya sebagai mesra.
“Semua presiden telah berikrar untuk memastikan kemenangan GRS pada pilihan raya akan datang.
“Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka. Mereka semua adalah pemimpin politik yang matang dan memahami kepentingan GRS sebagai satu gabungan yang bersatu menghadapi pilihan raya,” katanya.

Hajiji bersama Dr. Jeffrey (dua dari kiri), Pandikar Amin (kanan) dan Yong (kiri) menunjukkan bahawa semua berada dalam keadaan baik dalam keluarga GRS.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluangkan hampir tiga jam bersama Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden United Sabah National Organisation (Usno), Tan Sri Pandikar Amin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung GRS yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.


































