Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disaran untuk terus mempergiat sesi libat urus bersama kerajaan-kerajaan negeri berhubung pelaksanaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat terhadap negara ini.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, langkah itu penting bagi mengenal pasti cabaran jangka pendek, sederhana dan panjang yang timbul akibat pelaksanaan tarif tersebut.
“Dengan itu, Kerajaan dapat memberi keutamaan untuk menggembleng sumber asli dan modal insan bagi memaksimumkan potensi pelaburan, khususnya dalam pembangunan industri hiliran.
“Sebagai contoh di Sabah, kita telah lama memperjuangkan pemerkasaan industri hiliran dalam sektor kelapa sawit, namun masih berdepan pelbagai hambatan dan cabaran,” katanya ketika membahaskan isu tarif timbal balas pada Sidang Khas Parlimen Dewan Rakyat di sini, hari ini, susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Madius berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zone) di POIC Lahad Datu turut memerlukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Pusat.
Katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu memberi perhatian khusus terhadap penyelesaian isu bekalan air dan elektrik yang kritikal, bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat, tetapi juga bagi merancakkan usaha perindustrian.
“Kedudukan geopolitik Sabah dalam ASEAN juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan menggembleng kekuatan sumber asli serta kelebihan geografi seperti Taman Perindustrian POIC, SOGIP dan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
“Justeru, bagi menangani kesan dasar ‘Trump’, Tuaran mencadangkan penubuhan satu Pasukan Petugas (Task Force) oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Ketua Menteri untuk merangka cadangan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan bahawa kesan daripada pengumuman tarif pada 2 April lalu sudah mula dirasai, meskipun ia hanya akan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025.
Katanya, selain kejatuhan pasaran saham, pelbagai sektor turut terjejas, yang akhirnya memberi impak kepada permintaan komoditi global.
“Ini menyebabkan harga Brent minyak mentah petroleum jatuh menjunam sebanyak 14 peratus daripada USD73 kepada USD63, manakala harga minyak mentah kelapa sawit susut 17 peratus daripada RM4,796 kepada RM3,974.
“Wilayah seperti Sabah turut terkesan, walaupun eksport ke Amerika Syarikat hanya bernilai RM400 juta. Ini memberi kesan langsung terhadap hasil Kerajaan Negeri kerana Sabah bergantung kepada kutipan cukai jualan ke atas komoditi petroleum dan kelapa sawit mentah,” jelasnya.
Menurut beliau, unjuran hasil negeri Sabah berjumlah RM6.44 bilion untuk tahun ini kini berdepan risiko tidak dapat dicapai.
“Rakyat sedang menantikan apakah respons dan hala tuju kerajaan Malaysia dalam menghadapi kesan negatif tarif timbal balas ini,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan atas penganjuran Sidang Khas Parlimen ini yang memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahas dan meneliti hala tuju negara dalam isu berkenaan.






























