Ling Tian Soon
JOHOR BAHRU : 16 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru, di sini disyaki keracunan makanan setelah mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru diarahkan untuk mengambil tindakan lanjut susulan menerima maklumat berhubung insiden itu, 2 petang kelmarin.
“16 pelajar yang mengalami gejala telah dihantar ke beberapa fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.
“Bahagian Keselamatn Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru sudah bergerak ke MRSM berkenaan untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika sidang media di Majlis Perasmian JumpX di sebuah pusat beli belah di Bandar Dato Onn, di sini kelmarin.
Tian Soon berkata, insiden itu dilaporkan bermula sejak malam sebelumnya dan sehingga petang kelmarin terdapat 16 orang sahaja yang bergejala.
Katanya, walaupun punca keracunan masih belum diketahui, namun ia dipercayai makanan dari kantin dan sampel akan diambil oleh pihak pejabat kesihatan.
“Pihak pejabat kesihatan akan ambil sampel-sampel makanan dari kantin dan jumpa pelajar bergejala untuk mendapatkan maklumat bagi siasatan lanjut.
“Sementara ini, kita akan nasihat supaya operasi kantin berhenti sementara untuk kerja pembersihan dahulu, sehingga mendapat persetujuan bahagian kesihatan, barulah dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya.
Terdahulu, tular tangkap layar hantaran seorang pengguna media sosial Facebook mendakwa terpaksa bergegas dari Melaka ke Johor Bahru selepas anaknya mengadu muntah-muntah berkemungkinan akibat keracunan makanan.
Hantaran tersebut mendakwa ramai (pelajar) yang terbabit (muntah-muntah) sebelum menetapkan daftar masuk lokasi MRSM Johor Bahru pada hantaran itu.


































