Tengku Zafrul Abdul Aziz
PETALING JAYA: Malaysia mengemukan empat bidang utama bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, telah mengetuai delegasi untuk bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, di Washington DC kelmarin.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia berkongsi mengenai keterbukaannya untuk meneruskan rundingan mengenai tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia.
MITI berkata, empat bidang utama tersebut adalah membantu mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.
Katanya, Malaysia optimis mengenai pemberhentian sementara 90 hari baru-baru ini mengenai pelaksanaan langkah tarif dan menganggapnya sebagai satu peluang untuk berlibat urus secara membina dengan pihak AS.
Tambahnya, Malaysia secara terbuka menyatakan tidak akan mengambil tindakan tarif balasan terhadap AS tetapi bersedia untuk bekerjasama bagi mencapai hasil yang boleh dipersetujui bersama terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump.
Zafrul berkata, pihaknya percaya mesyuarat bersama Howard dan Jamieson adalah langkah yang menuju ke arah yang betul.
“Kami akan terus mengekalkan momentum dengan membuat susulan kepada beberapa isu utama yang dibincangkan segera dalam tempoh 90 hari pemberhentian sementara pelaksanaan tarif timbal balas.
“Malaysia juga menegaskan bahawa semua talian komunikasi kekal terbuka dan kami akan terus berusaha untuk mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, dalam kedua-dua mesyuarat tersebut, MITI menegaskan bahawa AS telah lama dan akan terus menjadi salah satu rakan ekonomi terpenting dan strategik bagi Malaysia.
“Sepanjang beberapa dekad, syarikat-syarikat Amerika telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dan hubungan ini telah memberikan manfaat yang ketara kepada perniagaan dan pekerja di kedua-dua belah pihak,” jelasnya.
Selain itu, perbincangan juga berkisar mengenai bagaimana AS boleh mengeratkan kerjasama dengan dengan ASEAN, terutamanya memandangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.


































