Masidi bersama penganjur pada majlis perasmian SAREC 2025 hari ini.
KOTA KINABALU: Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy RAMP 2040), yang bertujuan merangka halatuju serta keutamaan utama sektor tenaga negeri.
“Dengan pelan ini, Sabah berpotensi membangunkan sepenuhnya sektor tenaga hijau, yang berkemampuan menyumbang sehingga 75 peratus daripada bekalan tenaga hijau negara.
“Kerajaan Negeri mengharapkan kerjasama dan sokongan berterusan semua pihak berkepentingan dalam menjayakan masa depan yang lebih hijau dan mampan bagi Sabah,” katanya pada Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SAREC) 2025: Koridor Merealisasikan Visi di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini hari ini. Ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, Sabah dikurniakan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada transformasi negeri dan negara ke arah ekonomi berasaskan nilai tambah tinggi.
“Sektor tenaga telah menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah sejak beberapa dekad lalu, menyumbang secara besar kepada ekonomi negeri.
“Saya berhasrat untuk melihat sektor tenaga Sabah terus berkembang sambil menyumbang kepada hasil sosial yang positif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri giat melaksanakan agenda galakan tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan tenaga bersih menerusi pelbagai program yang dapat merangsang aktiviti ekonomi dan mempercepat pertumbuhan ekonomi demi membentuk serta memperkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui dan industri hijau Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus membangunkan infrastruktur yang berkaitan sektor tenaga. Kami komited untuk mengambil alih dan mengurus sumber tenaga negeri bagi memperkasakan Sabah membangunkan dan terus memajukan sektor tenaga secara lebih efektif dan efisien,” katanya.
Ketua Menteri turut mengulangi bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti satu sektor ekonomi baharu – Ekonomi Biru, yang melibatkan penerokaan secara lestari sumber marin dan pesisir pantai Sabah yang sangat bernilai.
Beliau berkata, pada April tahun lalu, Dewan Undangan Negeri Sabah telah meluluskan Enakmen Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) 2024, sekali gus membuka laluan kepada pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui baharu dan salah satu inisiatif di bawah Ekonomi Biru.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Qhazanah Sabah Berhad dan Malaysian Rating Corporation Berhad atas kejayaan menganjurkan SAREC 2025.
“Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menyatukan usaha, bertukar idea dan meneroka penyelesaian,” katanya.