PETALING JAYA: Pelakon lelaki yang didakwa terlibat dalam kes pukul kekasih hingga cedera di Ara Damansara di sini sudah dirakam percakapan malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek lelaki itu sudah dipanggil merakam percakapannya malam tadi.
Menurutnya, bagaimanapun suspek tidak ditahan dan dibebaskan selepas rakaman percakapan diambil.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Media semalam melaporkan polis akan memanggil pelakon lelaki yang didakwa terbabit dalam kes pukul kekasih hingga cedera di Ara Damansara, Petaling Jaya, dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh kekasihnya pada 7 April lalu yang mendakwa dipukul di bahagian muka dan badan oleh suspek menggunakan tangan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih dalam proses melengkapkan siasatan.
“Siasatan mendapati, mangsa ini juga pernah buat laporan polis pada tahun lalu atas kejadian sama oleh suspek sama tapi aduan itu ditarik balik oleh mangsa sendiri,” katanya.