KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJ Energy) mencatat lonjakan 40 peratus dalam keuntungan selepas cukai kepada RM362 juta (sebelum audit) bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 daripada RM259 juta pada tahun sebelumnya
Prestasi memberangsangkan ini menyerlahkan ketahanan dan asas kukuh syarikat, yang dicapai meskipun dalam landskap tenaga global yang tidak menentu. Pertumbuhan ini dipacu oleh pengoptimuman aset secara strategik, pengurusan kos yang berdisiplin dan pertumbuhan hasil yang berterusan.
Hasil tahunan mencatat peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh sumbangan kukuh daripada aset utama seperti Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), serta operasi Floating Production Storage and Offloading (FPSO) dan Floating Storage Operations (FSO) di bawah Sabah International Petroleum (SIP), yang kekal bebas hutang.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi SMJ Energy, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil dedikasi dan profesionalisme pasukan syarikat, bersama kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama termasuk PETRONAS.
“Dengan portfolio seimbang merangkumi segmen Huluan, LNG, Petrokimia dan FPSO/FSO, SMJ Energy berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan kekuatan kewangan walaupun dalam persekitaran harga minyak yang rendah,” katanya.
Namun, Masidi turut menggesa agar langkah berhati-hati diteruskan memandangkan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, termasuk konflik tarif yang berlarutan dan turun naik harga minyak.
“Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menekankan kepentingan pengurusan risiko secara proaktif dan strategi pelaburan yang berhemat,” tambahnya.
Di samping keuntungan, SMJ Energy turut memainkan peranan aktif dalam memperkukuh penglibatan syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sabah.
Pada tahun 2024, jumlah nilai kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat tempatan Sabah meningkat kepada RM2 bilion — lonjakan ketara berbanding RM613 juta pada tahun 2021 — tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti mahupun jadual projek.


































