Hajiji bersama ahli-ahli MTMD selepas mesyuarat
KOTA KINABALU: Usaha bersepadu perlu diambil untuk mengurangkan bilangan penagih dan pengguna bahan terlarang di Sabah dengan membendung permintaan dan bekalan dadah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus dalam kalangan penagih dan pengguna bahan terlarang, iaitu seramai 9,207 orang dikesan pada tahun lalu berbanding 8,567 pada tahun 2023, namun angka ini hanya mewakili 4.8 peratus daripada statistik kebangsaan.
“Sabah mencatatkan kadar 246 penagih, selari dengan sasaran nasional iaitu tidak melebihi 400 penagih dan penyalahguna dadah bagi setiap 100,000 penduduk.
“Angka ini menunjukkan peningkatan di seluruh negara dan hampir semua negeri. Trend peningkatan ini amat membimbangkan dan menjadi satu cabaran kepada kita semua. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk menangani masalah ini, khususnya dalam membendung bekalan dan permintaan dadah di negeri ini,” katanya.
Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji berkata, bagi tahun ini keutamaan akan diberikan untuk meneutralkan dua kawasan berisiko tinggi, iaitu Penampang dan Balung di Tawau.
“Bagi memastikan kejayaan menjadikan Penampang dan Balung sebagai kawasan hijau, Presiden Majlis Perbandaran Penampang dan Majlis Perbandaran Tawau selaku pengerusi MTMD daerah masing-masing telah dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di daerah mereka,” tambahnya.
Beliau berkata, usaha juga akan diteruskan untuk mengekalkan status “hijau” bagi tujuh kawasan berisiko tinggi iaitu Likas, Inanam, Luagan, Patikang dan Tuarid Taud, Tanjung Batu serta Merotai.
Semasa mesyuarat itu, dua kertas kerja dibentangkan termasuk program rintis “Kampung Sejahtera Tanggungjawab Bersama” oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
“Saya menyeru semua ahli mesyuarat agar mengambil maklum dan memberikan maklum balas terhadap usaha membanteras masalah dadah di Sabah bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025,” katanya.
Beliau berkata, dadah masih merupakan musuh nombor satu negara, oleh itu semua ahli majlis perlu berganding bahu untuk menghapuskan ancaman ini demi masa depan generasi negara.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah AADK Sabah yang baharu, Elmariah Chung.


































