KOTA KINABALU: Paskah merupakan masa untuk pembaharuan, harapan dan memperkukuh ikatan komuniti serta iman, kata Presiden Majlis Gereja Sabah, Reverend Datuk Ir. Jerry Dusing.
Beliau berkata, sambutan Paskah tahun ini bukan sekadar memperingati kebangkitan Yesus Kristus, tetapi juga menyeru kepada penghayatan mesej kasih, pengorbanan dan perdamaian yang terkandung dalam peristiwa agung itu.
“Di tengah-tengah cabaran dan kesusahan yang dihadapi masyarakat hari ini, kuasa kebangkitan Kristus mengingatkan kita bahawa sentiasa ada harapan dan kehidupan baharu menanti,” katanya dalam perutusan sempena perayaan suci itu.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Kristian untuk terus bersatu dalam semangat kasih, belas kasihan dan meneruskan kerja-kerja kebajikan yang mencerminkan ajaran Kristus dalam kehidupan seharian.
“Paskah juga adalah masa untuk merenung dan berdoa. Ia peluang untuk menguatkan ikatan iman dan mempereratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.
Menurut beliau, perayaan Paskah harus menjadi titik tolak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan memupuk keamanan dalam masyarakat.
“Marilah kita rayakan dengan penuh rasa syukur dan sukacita atas kurnia kehidupan melalui mukjizat kebangkitan Kristus,” katanya lagi.
Mengakhiri perutusannya, beliau memetik Lukas 24:6, “‘Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit!’ – satu berita luar biasa yang membawa sukacita kepada seluruh umat Kristian.”
Beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut Paskah yang diberkati dan penuh kegembiraan kepada semua penganut Kristian di Sabah dan luar negeri.
“Tuhan Yesus memberkati,” katanya.


































