Hajiji menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri di DUN Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyelesaikan pelbagai isu berkaitan tanah termasuk mempercepat pengeluaran geran tanah anak negeri serta memperluas digitalisasi bagi memperkemas pengurusan tanah di seluruh Sabah.
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sentiasa proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat terutama dalam penyelesaian hak milik tanah yang telah tertangguh sekian lama.
“Sebagai contoh, sebanyak 1,279 geran bersyarat Native Title (NT) telah disediakan dan diserahkan di Pulau Banggi. Tambahan pula, 2,674 lot telah selesai diukur, 1,562 dalam proses penyediaan geran draf, dan 1,112 masih disemak,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Ketua Menteri berkata, usaha di kawasan pedalaman juga tidak diketepikan dengan 36,803 lot tanah berkeluasan 224,608 hektar telah dikeluarkan geran NT di daerah seperti Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom.
Bagi isu yang dibangkitkan Alias Sani (Sekong) mengenai ketiadaan kampung diwartakan sejak lima tahun lalu, Hajiji memaklumkan terdapat 16 permohonan sedang diproses di peringkat daerah dan akan diwartakan selepas kelulusan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah.
“Kerajaan tetap komited untuk mewujudkan perkampungan anak negeri yang tersusun mengikut dasar yang telah digariskan,” ujarnya.
Sementara itu, berkaitan permohonan perubahan status tanah di Kampung Sugud, beliau menjelaskan permohonan tanah seluas 56.18 ekar sedang dalam proses dan akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa bulan Mei ini.
Menjawab cadangan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) untuk mewujudkan peruntukan khas bagi pengeluaran geran tanah bukan di bawah Program PANTAS, Hajiji berkata, JTU akan meneliti dan mengkaji cadangan itu secara menyeluruh.
“Kerajaan tidak menolak sebarang cadangan yang memberi manfaat kepada pemilikan tanah oleh rakyat,” tambahnya.
Dalam menjawab isu dibangkitkan oleh Jamil Hamzah (Bugaya), Ketua Menteri memaklumkan jumlah permohonan tanah yang tertunggak telah berjaya dikurangkan daripada 313,543 pada 2011 kepada 28,044 pada Mac 2025, penurunan sebanyak 91 peratus.
“Ini hasil pelaksanaan program PANTAS serta penggunaan teknologi ICT yang mempercepatkan urusan pemprosesan,” katanya.
Namun beliau mengakui masih wujud isu fizikal seperti pertindihan tanah dan pertikaian hak milik yang melambatkan proses.
“Selain itu, permohonan baharu yang diterima setiap tahun turut meningkatkan beban kerja pegawai di lapangan,” katanya lagi.
Untuk mempercepat proses pindah milik geran NT, Hajiji berkata, sistem Verify Land Title Information System (VLTIS) telah mempercepatkan proses kepada hanya 10 hingga 40 hari.
Katanya, proses itu bergantung kepada tafsiran ordinan berkaitan definisi anak negeri seperti yang termaktub dalam Ordinance Cap. 64.
Mengulas permohonan tanah skim Nabawan, beliau berkata, sebanyak 285 lot telah dikeluarkan geran, manakala 484 geran PANTAS telah diserahkan kepada pemilik dan 335 lagi telah dicetak serta sedia untuk diserah.
Beliau turut menyatakan kesediaan Kerajaan untuk menimbang cadangan menggunakan khidmat juruukur berlesen jika perlu di masa hadapan.
Bagi isu kampung Norowot dan Kampung Kinabakan yang dibangkitkan Datuk Yakubah Khan (Karambunai), Hajiji menjelaskan kawasan Norowot sebelum ini termasuk dalam rizab padang ragut dan tidak dapat diproses.
Namun permohonan baharu seluas 23 ekar telah disokong untuk diwartakan sebagai tapak perkampungan baharu.
Mengenai Kampung Kinabakan, tiada permohonan pewartaan diterima, namun kawasan itu berada di dalam zon KKIP dan penduduk telah dipindahkan ke tanah rizab di Boronuon, Telipok.
Bagi isu yang dibangkitkan oleh Datuk Masiung Banah (Kuamut) berkenaan pejabat JTU di Tongod, Hajiji berkata, permohonan telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan RMK-13.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab isu berkaitan sektor perhutanan yang dibangkitkan oleh Alias.
“Sehingga kini, sebanyak 2.012 juta hektar kawasan telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), mewakili 27.15 peratus daripada keluasan negeri,” katanya.
Katanya lagi, usaha ini selari dengan keperluan untuk menilai kelayakan tanah bagi pasaran kredit karbon berdasarkan metodologi dan verifikasi antarabangsa.
“Kita mahu Sabah terus menjadi peneraju dalam pembangunan lestari dan pasaran karbon yang sah,” tegasnya.
Beliau berkata, semua proses berkaitan perdagangan karbon hutan perlu melalui verifikasi piawaian global sebelum boleh dipasarkan.
“Kerajaan Negeri serius dalam memastikan setiap langkah berkaitan alam sekitar dan pemuliharaan hutan dilakukan secara bertanggungjawab,” katanya.
Hajiji turut menyeru semua wakil rakyat bekerjasama dalam memperjuangkan hak pemilikan tanah anak negeri dan pembangunan mapan di kawasan masing-masing.
“Usaha menyelesaikan isu tanah bukan sahaja soal pentadbiran, tetapi soal maruah dan hak rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri akan terus menambah baik dasar dan infrastruktur sokongan bagi menjamin penyampaian perkhidmatan tanah yang cekap dan adil.

































