Shahelmey (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan) dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Sabah sedang giat melaksanakan pelbagai tindakan bagi menangani isu pembetungan serius yang melanda beberapa kawasan di Sandakan termasuk Taman Megah, Pasar Batu 8, Bandar Ramai-Ramai dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, antara isu utama dikenal pasti termasuk kecurian komponen elektrikal, paip pembetungan tersumbat serta pembuangan sampah, lemak dan minyak ke dalam sistem pembetungan oleh orang awam.
“Sebagai contoh, di Taman Megah Batu 7, loji rawatan kumbahan tidak dapat beroperasi kerana berlaku kecurian dan sampah menyumbat paip. Namun, kerja pembaikan loji telah siap pada 19 Februari lalu dan penyelenggaraan paip selesai pada 31 Mac 2025,” katanya semasa menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, bagi Pasar Batu 8, limpahan kumbahan berpunca daripada sikap segelintir orang awam dan pemilik premis yang membuang sisa ke dalam lurang.
“Setakat ini, kerja pembersihan telah dilakukan namun masalah ini berulang kerana kurangnya kesedaran. Justeru itu, JPP Sabah bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu pada 21 Mac 2025,” katanya.
Shahelmey berkata, JPP Sabah juga memulakan program pembersihan lurang dan rangkaian paip pembetungan di pasar-pasar awam sekitar Sandakan bermula 9 April 2025 selama sembilan bulan.
Beliau turut menjelaskan isu di kawasan Bandar Ramai-Ramai melibatkan sistem perpaipan dalam bangunan yang uzur dan berada di bawah tanggungjawab pemilik premis menurut Enakmen Perkhidmatan Pembetungan (EPP) 2017.
“Namun bagi sistem pembetungan awam berdekatan, JPP Sabah telah memulakan program pembersihan pada 9 April 2025 bagi tempoh sembilan bulan,” katanya.
Mengenai kawasan PPR, Shahelmey berkata terdapat lima PPR di bawah selenggaraan JPP Sabah termasuk di Sungai Manila, Taman Murni, Lintas Sibuga, Taman Gum Gum dan Taman Mesra.
“Isu utama di PPR adalah pembuangan sampah ke dalam lurang. Kerja pembersihan sudah dilaksanakan manakala penyelenggaraan rutin loji rawatan kumbahan PPR Lintas Sibuga dan PPR Taman Gum-Gum telah bermula 19 Mac dan akan berakhir 18 November 2025,” katanya.
Beliau berkata JPP Sabah akan terus meningkatkan usaha penguatkuasaan serta kesedaran awam mengenai kepentingan sistem pembetungan.
“JPP juga sedang memperkukuhkan keupayaan kakitangan dan kelengkapan untuk memastikan sistem pembetungan beroperasi dengan baik dan efisien,” katanya.
Shahelmey berkata, JPP telah melantik empat panel kontraktor penyelenggaraan mengikut zon di Sandakan.
“Bagi kawasan Gum-Gum, kontraktor Tensa Engineering Sdn. Bhd telah dilantik sejak 17 Februari 2023 untuk tempoh tiga tahun. Saya akan semak isu yang dibangkitkan dan pastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.
Beliau berkata JPP Sandakan sedang memperkukuh usaha untuk mengurangkan kes kecurian dan vandalisme di kawasan rumah pam.
“Kontraktor telah dilantik untuk penyelenggaraan rutin loji dan stesen pam di Zon 1, 2 dan 4 bermula 19 Mac hingga 18 November 2025. Saya berharap kejadian tidak diingini dapat diminimumkan,” katanya.


































