James Ratib
KOTA KINABALU: Kerja-kerja naik taraf Hospital Queen Elizabeth II sebagai Pusat Jantung Negara Sabah dijadualkan bermula pada bulan September tahun ini, kata Menteri Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, pelaksanaan Projek Naik Taraf Pusat Jantung Sabah kini berada dalam fasa penyediaan dokumen Schedule of Accommodation (SOA) dan Preliminaries Detailed Abstract (PDA) oleh agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKRM).
“JKRM telah menjalankan lawatan tapak ke Hospital Queen Elizabeth II pada 22 hingga 23 Januari 2025 bagi membuat semakan skop kerja dan tinjauan tapak projek,” katanya.
James menjawab soalan daripada ADUN Sekong, Alias Sani pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Alias meminta penjelasan berhubung status pembangunan Pusat Jantung Sabah yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri ke-10.


































