KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memaklumkan bahawa beberapa unit dan blok kolej kediaman di kampus induk terjejas akibat gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan di laman Facebook universiti hari ini berkata, punca gangguan dikenal pasti berpunca daripada kadar kemasukan air yang rendah ke Tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), yang terletak dalam kawasan kampus. Tangki tersebut kini hanya mencatatkan kadar purata sekitar paras 1 daripada skala 10.
“JANS turut mengenal pasti penggunaan air yang tinggi serta insiden kecurian air di kawasan berjiran sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan bekalan air ke tangki berkenaan.

“Tangki R13 bukan sahaja menyalurkan air ke UMS, malah turut membekalkan kepada bangunan dan kawasan luar kampus termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), cawangan Persekutuan Putrajaya di Sabah, kawasan Alam Mesra, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, serta beberapa kawasan perumahan berdekatan,” katanya.
Walau bagaimanapun, tekanan air ke tangki tersebut mula menunjukkan peningkatan sejak jam 2 pagi tadi, dengan sejumlah 3 juta liter air berjaya dipam masuk. Situasi bekalan air di kampus kini menunjukkan tanda pemulihan, susulan tindakan pemotongan penyambungan paip secara haram di perkampungan setinggan berhampiran.

“Pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS sedang menyelaras penyaluran air mengikut kadar bekalan semasa dan turut memanfaatkan sumber alternatif seperti tubewell bagi menampung keperluan pelajar,” katanya lagi.
Pihak universiti menyeru warga kampus untuk sentiasa peka terhadap makluman semasa dan segera melaporkan sebarang isu berkaitan kepada pihak pengurusan. Kerjasama rapat bersama JANS dan agensi berkaitan turut digiatkan bagi mempercepat proses pemulihan sepenuhnya.

UMS turut merakamkan penghargaan atas kesabaran para pelajar dan seluruh warga kampus sepanjang tempoh gangguan ini. Pelajar dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah, menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengikuti maklumat rasmi melalui aplikasi mudah alih UMS, media sosial rasmi universiti serta saluran komunikasi kolej masing-masing.
Sebarang pertanyaan lanjut atau bantuan, pelajar boleh menghubungi Pejabat Kolej Kediaman di talian 088-320060.


































