Dr. Ramzah bergambar bersama para wakil Program Jelajah Usahawan Akar Umbi Borneo.
TUARAN: Program Jelajah Usahawan Akar Umbi Borneo dan Inisiatif DAYANG melabuhkan tirainya dengan acara penutupan penuh semangat dan sambutan hangat di Restoran Hero’s Bar, di sini.
Program anjuran Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah bersama Sabah Credit Corporation (SCC) ini telah menjelajah 10 daerah di Sabah dengan fokus memperkukuh jaringan ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan wanita muda di peringkat akar umbi.
Sepanjang dua minggu penganjuran, lebih 100 usahawan wanita muda dari daerah Papar, Sook, Kalabakan, Semporna, Lahad Datu, Beluran, Telupid, Ranau, Pitas dan Tuaran telah terlibat dalam pelbagai aktiviti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi perkongsian ilmu, bengkel keusahawanan serta dialog bersama komuniti usahawan tempatan.
Acara penutup di Tuaran turut disertai oleh 60 belia tempatan yang mengambil peluang berkongsi pandangan dan cadangan bagi meningkatkan daya saing keusahawanan di peringkat komuniti. Sambutan yang diterima jelas mencerminkan minat dan komitmen tinggi golongan belia terhadap pembangunan ekonomi setempat.
Antara pencapaian utama program ini ialah penerimaan positif terhadap Inisiatif Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang diperkenalkan dalam Belanjawan Sabah 2025. Menerusi inisiatif ini, usahawan wanita muda bukan sahaja mendapat akses kepada pembiayaan melalui SCC, malah turut menerima latihan dan bimbingan bagi meningkatkan ketahanan serta kebolehan bersaing dalam dunia perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, program ini bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membina hubungan langsung bersama komuniti.
“Sambutan yang diterima di setiap daerah membuktikan betapa perlunya program seperti ini diteruskan,” katanya.
“IDS percaya bahawa usaha merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar mampu membuka peluang keusahawanan yang lebih adil dan inklusif. Dengan berakhirnya program ini, kami berharap semangat keusahawanan yang dipupuk akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan komuniti setempat,” tambah beliau.































