Pasukan bomba mengeluarkan mangsa daripada kereta Perodua Bezza dalam kejadian di Tuaran. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang maut dan lapan lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan di Tuaran dan Kota Marudu petang tadi.
Selain itu, sebuah kereta turut dilaporkan terbakar di Kinarut.
Di TUARAN, kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kampung Nouga, Jalan Tenghilan, mengorbankan seorang lelaki berusia 20 tahun, manakala lima mangsa lain mengalami kecederaan.
Mangsa yang maut merupakan pemandu Perodua Bezza yang tersepit dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan jenazahnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Dalam insiden ini, lima penumpang Mitsubishi Triton mengalami kecederaan tetapi berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Lima lagi mangsa yang menaiki Perodua Axia terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat diketuai oleh Komander Operasi, PBK II KUP Dendrell Jauli dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama sembilan anggota.
Pasukan tiba di lokasi kejadian pada jam 3.53 petang dengan menggunakan dua jentera, FRT-1 dan EMRS-1. Turut membantu dalam operasi ini ialah tiga anggota KKM dan tiga anggota PDRM.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 3.33 petang.
Operasi ditamatkan pada jam 4.55 petang.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa daripada Toyota Hilux dalam kejadian di Kota Marudu.
Di KOTA MARUDU, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux telah terbabas sendiri di bahu jalan berhampiran Puspakom Kota Marudu, menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan.
PGO JBPM Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 4.16 petang.
Sepasukan enam anggota diketuai oleh Komander Operasi PBK II KUP Marselius Junus dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu tiba di lokasi, kira-kira 4 kilometer dari balai, pada jam 4.25 petang.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah dan tersepit di dalam kenderaan.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut. Dua lagi mangsa, masing-masing berusia 22 dan 36 tahun, mengalami kecederaan ringan.
Operasi melibatkan satu jentera FRT. Turut membantu adalah tiga anggota daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh keluarga serta pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang.

Keadaan Perodua Kancil yang terbakar di Kinarut
Di KINARUT, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Mook.
Menurut PGO JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 4.43 petang.
Pasukan BBP Papar yang diketuai oleh Komander Operasi PBK II KUP Hendry Hilarion segera bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer dan tiba pada jam 5.09 petang.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan telah terbakar 100 peratus. Tindakan pantas diambil dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera bomba, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
Operasi pemadaman berjalan lancar, dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 5.25 petang.
Seramai sembilan anggota dari BBP Papar terlibat dalam operasi ini, dengan kekuatan logistik terdiri daripada satu jentera FRT dan satu unit EMRS.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini.
































