ALMATY: Seorang lelaki Kazakhstan menjadi individu pertama di negara itu menggunakan kecerdasan buatan (AI) ChatGPT untuk membatalkan saman trafik di mahkamah.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian pada Disember 2024, Kenzhebek Ismailov, 23, sedang membawa ibunya ke hospital apabila sebuah kenderaan di hadapan tiba-tiba berhenti tanpa sebab dan menghalang satu-satunya lorong untuk kenderaan biasa di jalan tersebut.
Dengan tiada pilihan lain, beliau terpaksa memasuki lorong bas di sebelah kanan untuk memintas kenderaan yang berhenti itu.
Bagaimanapun, tindakannya dirakam oleh kamera pengawasan dan beliau kemudiannya menerima saman trafik melalui pos.
Ismailov cuba merayu kepada pihak berkuasa trafik untuk membatalkan saman berjumlah 5,800 tenge (RM50), namun rayuannya ditolak.
Tidak mahu mengupah peguam untuk saman sekecil itu, beliau mengambil keputusan untuk mencabar saman tersebut di mahkamah dengan menggunakan bantuan ChatGPT.
Setelah memasukkan butiran kesnya ke dalam AI itu, termasuk bukti video yang tersedia di laman web pihak berkuasa trafik, ChatGPT menasihatkannya untuk membawa kes itu ke mahkamah dan turut menyediakan dokumen perundangan yang diperlukan.
Namun, setelah kes difailkan di mahkamah, pihak berkuasa trafik tiba-tiba menghubunginya untuk menyelesaikan kes itu secara baik dengan membatalkan saman dan memulangkan semula wangnya.
Bagaimanapun, berdasarkan nasihat ChatGPT, Ismailov enggan menarik balik tuntutan dan tetap meneruskan kes.
Ketika perbicaraan yang hanya berlangsung selama 10 minit, beliau menggunakan fungsi sintesis suara ChatGPT untuk menjawab soalan secara langsung sehingga menyebabkan hakim tidak mempunyai pilihan selain membatalkan saman tersebut.
Susulan kejayaan itu, Ismailov kini merancang untuk menggunakan ChatGPT bagi memfailkan saman sivil terhadap pihak polis, menuntut pampasan atas masa yang terbuang dalam proses membatalkan saman tersebut.


































