Japlin menyampaikan bungkusan kuih raya kepada Hajiji.
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) telah menyumbangkan pek bungkusan kuih raya kepada pasukan barisan hadapan, khususnya yang bertugas dalam aspek keselamatan dan kesihatan di Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim menyerahkan sebanyak 26 kotak kuih raya bernilai RM22,000 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd. Yusof, serta Pengurus Sumber Manusia, Pentadbiran dan IT, Ezrie Ag. Raini.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial CIS sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pasukan barisan hadapan di Sabah.
“Mereka perlu bertugas ketika musim perayaan demi keselamatan kita semua, manakala petugas kesihatan sentiasa memastikan perkhidmatan berada dalam keadaan bersiap sedia sepanjang masa, walaupun orang lain bergembira menyambut Hari Raya.
“Jasa dan bakti mereka dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan rakyat amat kami hargai,” kata Japlin selepas majlis penyerahan bungkusan kuih raya itu.
Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menerima sumbangan keperluan raya daripada 33 kementerian, jabatan, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum menyerahkannya kepada 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan.


































