KUNDASANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK) yang terletak di Kampung Kauluan, di sini.
Koperasi ini, yang ditubuhkan pada Disember 2022, memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan tempatan.
Bagaimanapun, aktiviti pelancongan di kawasan itu telah bermula lebih awal, sejak 2015.
Ewon memuji kepimpinan koperasi yang diterajui oleh golongan belia dan turut terlibat dalam perusahaan sosial, termasuk membangunkan kemahiran keusahawanan di kalangan wanita bagi menghasilkan produk kraftangan serta mencipta peluang pekerjaan kepada belia.
“Saya berbangga melihat anak-anak muda di kampung ini berjaya menggerakkan koperasi dan memanfaatkan potensi pelancongan setempat,” katanya.
Ewon berkata, KOPSODIK juga telah memperoleh penarafan sosial, membolehkan koperasi itu layak menerima geran sebanyak RM100,000 di bawah Program Perusahaan Sosial (SE) Koperasi untuk memperkukuh aktiviti mereka.
“Saya berharap usaha dan kejayaan koperasi ini menjadi contoh dan inspirasi kepada koperasi lain untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi setempat.
Selepas itu, Ewon turut melawat Kundasang Aquafarm, sebuah perusahaan akuakultur yang dikendalikan oleh Azizul Julirin, seorang usahawan belia yang juga alumni Program Tunas Usahawan Belia (TUBE) 2016 di bawah SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Azizul, yang juga Presiden Persatuan Alumni TUBE Sabah (PANTAS), berjaya membangunkan Kundasang Aquafarm sehingga menerima lebih 14,000 pengunjung sejak dibuka, melatih lebih 1,000 usahawan, dan menawarkan peluang latihan industri kepada 283 graduan.
Produk akuakultur yang dihasilkan bukan sahaja mendapat permintaan dalam negara tetapi turut berjaya menembusi pasaran negara jiran.
“Saya berbangga melihat kejayaan Azizul yang bukan sahaja membangunkan perniagaan sendiri, tetapi juga membantu ramai belia lain untuk berjaya dalam bidang keusahawanan,” kata Ewon.
Beliau berharap pencapaian Azizul dapat menjadi contoh kepada usahawan belia lain dalam membangunkan perniagaan yang berdaya maju dan memberi manfaat kepada komuniti.
Sementara itu, Ewon turut meluluskan Geran Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sejumlah RM300,000 kepada Koperasi Walai Tokou Kundasang Sabah Berhad (KOPSTAY).
Beliau berkata, bantuan itu adalah untuk membantu memperluaskan perkhidmatan koperasi berkenaan mengembangkan produk baharu pelancongan, glamping dan camping site.
“Dengan adanya tambahan glamping dan camping site, saya berharap KOPSTAY dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kundasang, sekali gus merancakkan lagi ekonomi komuniti setempat melalui sektor koperasi dan pelancongan berasaskan komuniti.
“KOPSTAY telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan pencapaian seperti Anugerah Desa Lestari dan tadbir urus yang tersusun.
“Saya gembira melihat koperasi ini terus berkembang dan mengambil inisiatif untuk menambah nilai perkhidmatan mereka melalui glamping dan camping site.
“Bagi menyokong usaha ini, kementerian meluluskan bantuan pembangunan RM300,000 kepada KOPSTAY serta geran program JEJAK Koperasi sebanyak RM12,500,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke KOPSTAY yang terletak di Kg. Sinisian.
Ewon turut menjemput KOPSTAY menyertai Ekspo Pelancongan Koperasi yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan ini untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
“Ini adalah peluang terbaik KOPSTAY mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Saya yakin koperasi ini mampu menjadi contoh kepada koperasi lain dalam sektor pelancongan,” katanya.
KOPSTAY terlibat dalam perkhidmatan homestay yang dipakejkan dengan pelbagai pengisian dan telah mencapai beberapa pencapaian antaranya Anugerah Desa Lestari. Koperasi ini juga memiliki tadbir urus yang tersusun.


































