Joniston mengadakan perbincangan dengan Nor Shafareena dan pegawainya di Pejabat Pertanian Tuaran untuk membincangkan pembangunan pertanian di daerah kecil Kiulu serta potensi kerjasama.
KOTA KINABALU: Usaha kerjasama antara Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Pertanian Tuaran sedang dilaksanakan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi pertanian Kiulu serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat
ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif untuk memberi fokus agresif terhadap pembangunan pertanian diambil susulan kejayaan menjadikan Kiulu sebagai destinasi pelancongan luar bandar.
“Pertanian dan pelancongan adalah dua sektor yang saling melengkapi dan mampu mengubah landskap luar bandar Kiulu secara signifikan.
“Dengan infrastruktur yang lebih baik, perancangan strategik, dan pemindahan ilmu yang berkesan, kita dapat mewujudkan peluang yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti pertanian tetapi juga memperkayakan pengalaman pelancongan berasaskan sumber semula jadi kita,” katanya.
Kelmarin, Joniston mengadakan perbincangan dengan Pegawai Kanan Pertanian Tuaran, TS Nor Shafareena Hamsa dan pegawainya di Pejabat Pertanian Tuaran untuk membincangkan pembangunan pertanian di daerah kecil Kiulu serta potensi kerjasama.
Dalam perbicangan itu, Joniston dimaklumkan bahawa Kiulu telah dipilih untuk projek perintis penanaman padi berhasil tinggi yang dilancarkan di Kampung Tompinahaton pada akhir tahun lalu.
Bagi menyokong pembangunan pertanian di kawasannya, Joniston telah mengambil keputusan dengan memperuntukkan RM1.5 juta daripada peruntukan ADUN beliau untuk menaik taraf jalan-jalan pertanian sedia ada serta membina jalan-jalan pertanian baharu.
“Berdasarkan rekod daripada Pejabat Daerah Kecil Kiulu, terdapat 73 jalan pertanian di Kiulu, dan kami merancang untuk meningkatkan banyak daripadanya.
“Kira-kira 40 jalan pertanian akan dinaik taraf tahun ini manakala beberapa jalan baharu turut akan dibina.
“Kami juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan pengetahuan dan motivasi yang diperlukan kepada golongan belia, terutamanya graduan menganggur, untuk menceburi bidang pertanian dan pelancongan sementara menunggu penempatan pekerjaan,” tambahnya.
Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pertumbuhan sektor pertanian sebagai tunjang utama dalam merancakkan ekonomi negeri dan mengurangkan bil import makanan.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Kiulu sebagai model pembangunan luar bandar bersepadu yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam pemerkasaan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan,” tegasnya.
Joniston berkata, penubuhan kilang memproses nanas dan halia serta kemudahan pembungkusan padi bukit di Kiulu juga sedang dalam perancangan.
“Walaupun Kiulu merupakan kawasan luar bandar, kami optimis bahawa dengan perancangan yang betul, Kiulu dapat berkembang dalam sektor pelancongan, pertanian, dan pembuatan selaras dengan pelan pembangunan SMJ,” katanya.


































