Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Satu kejadian tanah runtuh berlaku awal pagi tadi di Kampung Lok Bonu, Jalan Sepanggar, di sini, mengakibatkan sebuah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya.
Kejadian yang dilaporkan pada jam 4.32 pagi melalui talian kecemasan MERS999 itu telah menyebabkan seorang wanita terkorban, manakala seorang lelaki selamat tanpa kecederaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelmat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 10 anggota bersama dua jentera, iaitu satu FRT dan satu EMRS ke lokasi sejauh 23 kilometer.
Pasukan yang diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Musa Kunjan tiba pada jam 4.49 pagi dan segera menjalankan operasi menyelamat.
Kejadian dilaporkan berlaku akibat hakisan tanah yang menimbus rumah bersaiz 10×15 kaki, menyebabkan kerosakan 100 peratus.
Dalam operasi yang dikawal sepenuhnya pada jam 6 pagi, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa perempuan berusia 53 tahun yang tertimbus, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 25 tahun, berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi.


































