Seorang penyokong hak pendatang memegang papan bertulis ‘Immigrants Make America Great’ semasa perhimpunan ‘March for Dignity’ di Los Angeles, kelmarin.
WASHINGTON: Bahasa Inggeris kini diisytiharkan sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat (AS), selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, beliau mendakwa, langkah itu akan mengukuhkan perpaduan nasional, di tengah kepelbagaian penduduk yang berhijrah ke negara itu dari seluruh dunia.
Rumah Putih menerbitkan perintah eksekutif yang menyatakan langkah untuk mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara, sudah ‘lama tertangguh’.
“Bahasa kebangsaan yang ditetapkan secara rasmi adalah teras kepada masyarakat bersatu padu dan AS diperkukuh oleh warganegara yang boleh bertukar idea dalam satu bahasa dikongsi bersama,” menurut dokumen itu.
Perintah tersebut membatalkan mandat presiden dari 1990-an di bawah pentadbiran Bill Clinton, yang mewajibkan agensi kerajaan dan penerima pembiayaan persekutuan untuk memberikan bantuan kepada bukan penutur bahasa Inggeris.
Menurut dokumen baharu itu, agensi kerajaan masih mempunyai fleksibiliti untuk menentukan jumlah bantuan yang ditawarkan dalam bahasa selain bahasa Inggeris.
“Tiada apa dalam perintah ini… yang mewajibkan atau mengarahkan sebarang perubahan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana agensi,” kata perintah eksekutif tersebut.
Walaupun Rumah Putih mengaku lebih daripada 350 bahasa dituturkan di AS, perintah itu menegaskan bahasa Inggeris menjadi bahasa negara sejak penubuhan, selain dokumen bersejarah termasuk Pengisytiharan Kemerdekaan serta Perlembagaan semuanya ditulis dalam bahasa tersebut.
Menurut data kerajaan AS dari 2019, hampir 68 juta orang bertutur dalam bahasa selain Inggeris, dengan 40 juta penduduk di Amerika bertutur dalam bahasa Sepanyol di rumah.
































