Masiung (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada PIBG Sekolah Menengah Entilibon, sambil diperhatikan oleh Pegawai Pendidikan Telupid/Tongod, Albert Andau Paulus Andau (kiri).
TELUPID: Ledakan media sosial dalam era digital masa kini jelas mempengaruhi masalah akademik para pelajar jika tiada pengawasan teliti daripada ibu bapa dan guru.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah mengingatkan ibu bapa supaya menghadkan penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak.
“Tidak dinafikan teknologi digital pada hari ini mampu memperkasa kerjaya sesebuah organisasi, namun ketagihan murid sekolah melayari media sosial ternyata menjejaskan prestasi pendidikan mereka,” tegasnya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Apresiasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta daerah Telupid/Tongod di Dewan Institut Perhutanan Sabah, Telupid, kelmarin.
*”Sebagai ketua keluarga, kita tidak boleh menjadikan kesibukan harian sebagai alasan apabila dijemput pihak sekolah bagi membincangkan prestasi pendidikan anak-anak.
“Kejayaan akademik anak-anak berkait rapat dengan komitmen ibu bapa dan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru di sekolah,”* katanya.
Sementara itu, Masiung menggesa ibu bapa agar mengambil peluang untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan bantuan tunai sumbangan Kerajaan Negeri menerusi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).
Setiap pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan menduduki peperiksaan layak menerima sumbangan sebanyak RM200 seorang.
Bantuan tunai itu merupakan inisiatif baharu Kerajaan Negeri yang pertama kali diperkenalkan dan tidak pernah dilakukan oleh tiga pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.


































