Kasim Muda
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya ketika meninggalkan rumah, terutama dalam tempoh percutian atau ketiadaan yang lama.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda menegaskan bahawa langkah pencegahan amat penting bagi mengurangkan risiko jenayah seperti pecah rumah dan kecurian.
“Orang ramai perlu memastikan semua pintu dan tingkap rumah dikunci dengan sempurna sebelum berlepas. Selain itu, penduduk yang meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama digalakkan memaklumkan perkara ini kepada balai polis berhampiran untuk membolehkan pemantauan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggalakkan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau QR Code Aduan Masyarakat bagi membolehkan pihak polis bertindak dengan lebih cepat sekiranya diperlukan. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui:
Pengguna iOS: Muat Turun di iTunes (https://itunes.apple.com/my/app/volunteer-smartphone-patrolvsp/id1118234031?mt=8)
Pengguna Android: Muat Turun di Google Play
(https://play.google.com/store/apps/details?id=my.gov.onegovappstore.rv2&hl=en)
Selain itu, Kasim turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi perancangan perjalanan atau lokasi di media sosial bagi mengelakkan risiko jenayah. Mereka juga disaran meminta jiran atau individu yang dipercayai untuk membantu memantau rumah sepanjang ketiadaan mereka.
“Bagi langkah tambahan, pasang sistem keselamatan seperti CCTV atau penggera keselamatan. Pastikan juga kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan selamat serta memeriksa dan mematikan peralatan elektrik yang tidak diperlukan bagi mengelakkan risiko kebakaran,” tambahnya.
Beliau menyeru komuniti setempat agar sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan proaktif dalam memastikan keselamatan kediaman mereka.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada pihak polis melalui talian 999 atau di balai polis berhampiran.


































