Hajiji melihat produk PKS Sabah bersama Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun dan Menteri MIDE, Datuk Phoong Jin Zhe sebelum sesi taklimat.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) merancang untuk mengadakan empat Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tahun ini.
Setiausaha Tetap MIDE, Datuk Thomas Logijin berkata, karnival tersebut akan diadakan di Tawau, Tuaran, Kudat dan Keningau.
Dalam taklimatnya sempena lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor ke MIDE hari ini, Logijin berkata, terdapat 8,031 usahawan PKS yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) di bawah MIDE.
Beliau berkata, pelbagai program telah dirangka untuk membantu PKS di Sabah, antaranya program SME-Up, kursus pembangunan usahawan, kempen Beli Produk Sabah, serta pemasaran dan promosi produk PKS Sabah di pasar raya tempatan seperti Bataras, Kedai Mesra Petronas dan Pusat Produk PKS.
Selain itu, kementerian telah mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai pelbagai pameran perdagangan dan ekspo dunia di luar negara bagi memberi pendedahan kepada produk mereka di pasaran antarabangsa tahun ini.
Mengakhiri lawatan kerja ke semua kementerian, Hajiji memuji usaha MIDE dalam menarik pelaburan asing dan domestik ke Sabah serta membantu menjana pendapatan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kementerian ini penting kerana ia menjana pendapatan untuk negeri, dan berdasarkan taklimat hari ini, nampaknya mereka bekerja keras selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
“Apa yang penting adalah semua perancangan mesti dilakukan secara sistematik, dan dalam masa yang sama, ia bukan sahaja menguntungkan syarikat besar tetapi juga PKS,” tambahnya.
Ketua Menteri mahu MIDE terus memberi tumpuan kepada pembangunan PKS tempatan serta membantu mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut mengarahkan kementerian untuk meneruskan cadangan pembangunan tiga taman perindustrian baharu di Kudat, Beaufort dan Kota Belud.
“Sabah akan dapat meningkatkan statusnya apabila taman perindustrian baharu ini beroperasi,” katanya.
Ketua Menteri juga menerima taklimat daripada ketua-ketua agensi di bawah MIDE seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), KKIP Sdn Bhd, Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu, Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), Invest Sabah Berhad dan Sabah Trade and Tourism Office Singapore (STTOS).
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, pembantu menteri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
































