Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), satu inisiatif yang bertujuan meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyambut baik langkah ini yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Program ini merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara, khususnya golongan yang berdaftar dalam sistem eKasih serta mereka yang masih tercicir daripada bantuan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan program ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap cabaran peningkatan kos sara hidup. Melalui inisiatif ini, bantuan tunai diberikan kepada penerima yang layak setiap bulan sehingga Disember 2025, sekali gus memberikan kelegaan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM358.5 juta bagi manfaat 100,000 penerima, satu langkah yang jelas mencerminkan kesungguhan dalam menangani kemiskinan secara langsung dan menyeluruh,” tambahnya.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga merancang untuk memperluaskan pelaksanaan program ini menerusi Fasa Kedua yang dijangka bermula pada Mei 2025. Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang layak, termasuk mereka yang tersenarai dalam eKasih dan juga yang sebelum ini tidak termasuk dalam Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS). Usaha ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan bantuan disalurkan secara adil dan menyeluruh.
“Saya berharap program SYUKUR ini bukan sahaja membantu rakyat yang memerlukan, tetapi juga menjadi bentuk bantuan berterusan yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat Sabah. Ini selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau lagi.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi kebaikan rakyat Sabah, sambil menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah membuktikan komitmennya untuk terus bekerja demi kesejahteraan rakyat.


































