Tun Musa (tiga dari kanan) menerima cendera kenangan dari Zahani.
KOTA KINABALU: Tahap keselamatan di negeri ini mampu meningkatkan lagi aktiviti ekonomi serta menjana pendapatan penduduk tempatan.
Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin berkata, dengan adanya tahap keselamatan yang tinggi mampu menarik pelabur dan pelancong ke negeri ini sekali gus dapat mengembangkan sosioekonomi tempatan.
“Dengan wujudnya pasukan kita di sana, lebih kurang pada saat masih kita ada lebih kurang 2,200 pegawai dan anggota yang membuat patrol dan pos-pos keselamatan daripada Pulau Sebatik sehinggalah ke Kudat.
“Kita nampak juga isu-isu keselamatan semakin berkembang, semakin bagus dan sosioekonomi di pantai timur Sabah pun semakin bagus.
“Kalau kita tengok Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Sabah di sana kalau dulu lebih kurang RM18,000 setahun, sekarang lebih kurang RM36,000 setahun per kapita.

Tun Musa (tengah) bergambar bersama rombongan usai kunjungan.
“Ini kerana kita telah mewujudkan keselamatan dan sosioekonomi akan terus berkembang dan kalau kita lihat sekarang ini kemasukan pelancong di bahagian pantai timur Sabah semakin ramai.
“Minggu lepas sahaja, delegasi daripada kedutaan United Kingdom datang ke sana untuk melihat tahap keselamatan di sana sebab mereka sedang mempertimbangkan untuk memanggil semula penasihat pelancongan mereka.
“Jadi kita nampak semakin banyak negara makin buka kerana isu keselamatan di sana semakin baik,” kata beliau semasa ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Tambahnya, Markas Angkatan Bersama turut merancang operasi yang akan dilakukan untuk kawasan Laut China Selatan bagi menambahkan lagi tahap keselamatan negara khususnya di sekitar Sabah.
“Salah satu dari operasi baru yang telah ditugaskan kepada angkatan bersama adalah operasi di Laut China Selatan yang dulunya dilakukan secara berasingan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Malaysia (TUDM)”, ujar beliau.
Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut Asisten Ketua Staf J3 Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong, Asisten Ketua Staf Laksamana Muhammad Rodhi Ariffin dan Brigader Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin.
































