Tun Musa (kanan) menerima cenderhati dari Rosli.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP), Datuk Seri Rosli Isa, pada Jumaat.
Rosli memaklumkan kunjungan bertujuan menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Tun Musa sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
“Di samping itu, saya memaklumkan kepada Tun Musa bahawa setiap jabatan dan agensi persekutuan di Sabah akan sentiasa bekerjasama erat dengan kerajaan negeri agar ekonomi serta pembangunan negeri Sabah terlakar cemerlang.
“Tun Musa juga menasihati agar ketua jabatan persekutuan dan negeri mengadakan satu mesyuarat bersama yang akan dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah sebanyak empat kali setahun bagi bertukar-tukar dan berkongsi pendapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu.
Rosli turut memaklumkan Pejabat SUP akan mengadakan mesyuarat perhubungan ketua-ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan Sabah akan diadakan tiga kali setahun dan yang pertama pada tahun ini adalah pada 18 Februari depan.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha, Noraziah Aslan beserta Penolong-Penolong Setiausaha, Patrick Laing Ngau, Ag Mohd Izzuddin Hariz bin Ag Kachee dan Michol Lin.