Japlin bergambar kenangan bersama pihak pengurusan CIS di Kilang CIS, Sepanggar.
KOTA KINABALU: Kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pekerja serta corak pentadbiran yang diamalkan.
Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS), Datuk Japlin Akim berkata, keupayaan dan kecemerlangan organisasi amat bergantung kepada semangat kerja berpasukan yang diamalkan oleh para pekerja.
Beliau menegaskan bahawa CIS sentiasa komited untuk memastikan semua kumpulan kakitangan, sama ada di bahagian pengurusan, kilang, atau jenama, terus berusaha dengan gigih bagi menjayakan misi syarikat.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kami mempunyai tanggungjawab dan amanah kepada negeri. CIS adalah salah satu daripada banyak GLC yang perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.
Tambah beliau, baru-baru ini CIS telah menerima Anugerah Top 10 Pengguna Kuasa Besar (Sabah Electricity Top 10 Large Power Consumer) 2024, yang merupakan satu pencapaian besar bagi syarikat.
“Sebagai salah sebuah GLC di Sabah, anugerah ini merupakan pencapaian yang membanggakan buat seluruh kakitangan CIS. Ini juga kali pertama syarikat menerima pengiktirafan sedemikian.
“Kami berharap Sabah Electricity akan terus mengekalkan prestasi baik dalam membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi dan konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sambutan Tahun Baru Cina Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd yang diadakan di Sepanggar semalam. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kelab Sosial dan Rekreasi Kakitangan CIS (CISRA).
Turut hadir ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd. Yusof; Pengurus Kanan Jualan dan Logistik, Melvyn Yong; Pengurus Kanan Kualiti, Alimat Anuar Salam; Pengurus Kanan Sumber Manusia, Ezrie Ag. Raini; serta pihak pengurusan dan kakitangan CIS.
Menurut Japlin, Sabah adalah contoh terbaik perpaduan kaum di Malaysia, yang terbukti melalui sambutan perayaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau etnik.
“Perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Krismas dan Deepavali bukan sahaja mempererat hubungan dalam kalangan masyarakat, malah memberi peluang kepada rakyat untuk berkongsi kegembiraan,” katanya.


































