HONG KONG: Hong Kong akan memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadapnya, kata Ketua Setiausaha Pentadbiran, Eric Chan, Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Chan berkata, tindakan AS itu jelas menunjukkan mereka mengabaikan status Hong Kong sebagai wilayah kastam yang berasingan, sekali gus melanggar peraturan WTO.
“Ini sama sekali tidak selaras dengan peraturan WTO. Mereka langsung tidak menghormati kedudukan Hong Kong sebagai wilayah kastam yang berasingan.
“Kami akan memfailkan aduan kepada WTO mengenai pengaturan yang tidak munasabah ini,” katanya kepada pemberita.
Kenyataan Chan itu merujuk kepada keputusan AS untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari pusat kewangan Asia itu, dalam usaha Presiden Donald Trump menyasarkan import dari China.
Terdahulu, Perkhidmatan Pos AS menggantung semua surat dan bungkusan masuk dari China dan Hong Kong, namun menarik semula keputusan tersebut tidak lama selepas itu.
Langkah untuk menghentikan penerimaan bungkusan dari China dan Hong Kong itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan peruncit serta syarikat penghantaran ekspres yang bergelut memahami bagaimana untuk menangani tarif AS tersebut.
Tindakan Trump itu turut melibatkan penutupan pengecualian cukai de minimis bagi bungkusan bernilai di bawah AS$800 (RM3,800), dengan alasan untuk menghentikan aliran fentanyl dan bahan kimia ke AS.
Hong Kong sebelum ini dikenali sebagai hab perdagangan bebas dan terbuka, namun pengenalan undang-undang keselamatan negara oleh China ke atas bandar raya itu pada 2020 mengundang kritikan sehingga menyebabkan Washington menamatkan status khas bekas tanah jajahan British di bawah undang-undang AS, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut.
Susulan itu, AS menetapkan barangan yang dibuat di Hong Kong untuk dieksport ke AS perlu dilabel sebagai buatan China, sekali gus menamatkan salah satu kelebihan kompetitif Hong Kong sebagai hab perdagangan antarabangsa.
































