SYDNEY: Australia mengharamkan platform kecerdasan buatan (AI) DeepSeek daripada semua peranti kerajaan atas nasihat agensi keselamatan.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai tinggi Australia berkata, langkah itu diambil berikutan risiko privasi dan perisian hasad yang ditimbulkan oleh program AI China itu.
“Ini adalah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan atas nasihat agensi keselamatan. Ia sama sekali bukan satu tindakan simbolik.
“Kami tidak mahu mendedahkan sistem kerajaan kepada aplikasi ini.
“Risiko termasuk maklumat yang dimuat naik mungkin tidak dirahsiakan dan aplikasi seperti DeepSeek mungkin mendedahkan anda kepada perisian hasad,” kata utusan keselamatan siber kerajaan, Andrew Charlton.
Arahan itu juga memerlukan akses, penggunaan atau pemasangan produk DeepSeek dihalang merentas sistem kerajaan dan peranti mudah alih.
Chatbot DeepSeek yang dibangunkan oleh syarikat permulaan berpangkalan di China telah mengejutkan pemain industri dan pasaran kewangan sejak dikeluarkan bulan lepas.
Namun, semakin banyak negara termasuk Taiwan, Korea Selatan, Itali dan Perancis menyuarakan kebimbangan mengenai amalan keselamatan dan data aplikasi tersebut.


































