Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Pengguna di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air apabila satu penutupan separa kecemasan dijadualkan akan dilakukan pada Jumaat, 7 Feb, bermula pada jam 2 petang.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penutupan ini perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kebocoran yang dikesan pada paip berukuran 1200 mm di Paip T2A,terletak di hadapan Skyline SIB, Jalan Penampang.
Katanya, kebocoran tersebut telah dikenal pasti pada paip washout tegak (upstand) berukuran 250mm, yang dipercayai berpunca daripada tekanan beban lateral dari ruang washout.
“Kerja-kerja pembaikan akan merangkumi penggalian kawasan terjejas, mengenal pasti punca kebocoran dan membaiki paip yang rosak. Keseluruhan proses dijangka mengambil masa sekitar 12 jam untuk disiapkan.
“Sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Moyog akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 109 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti biasa sebanyak 187 MLD, iaitu pengurangan sebanyak 41 peratus dalam pengeluaran air terawat.
“Oleh itu, pengguna di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, termasuk kawasan seperti Pusat Bandar KK, Kepayan, Tg. Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang, Bukit Padang, Penampang, Kobusak, KDCA, Jalan Penampang Baru, Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting/Country Heights Apartments, Jalan Bundusan, Beverly Hills Apartments, Putatan, Kg.Ketiau, Petagas dan kawasan sekitarnya, dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air,” kata Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya dalam kenyataan hari ini.
Bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air ini, beliau berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas.
Namun, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
“Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna.”
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi.Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian Careline JANS atau melalui laman web dan media sosial rasmi JANS.
































