BUTTERWORTH : Polis Pulau Pinang hari ini mengesahkan penyeludupan senjata api yang berjaya ditumpaskan Isnin lalu, dipercayai untuk dijual kepada kumpulan kongsi gelap di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis, Datuk Hamzah Ahmad berkata, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung sindiket itu masih dijalankan dan buat masa ini, pihaknya sedang menyusun soal siasat dengan rapi untuk memastikan elemen-elemen siasatan mencakupi dan lengkap daripada segenap aspek.
Katanya, suspek masih dalam tempoh reman dan polis sedang melengkapkannya (siasatan) sekaligus merangkumi radius siasatan lebih besar.
“Polis giat mengesan rangkaian selain telah establish (menyediakan) beberapa keterangan yang dirasakan perlu diketengahkan dalam siasatan tersebut dan sebahagian rangkaian kongsi gelap sudah kenal pasti dari negara kita dan negara jiran,” katanya mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung penahanan empat lelaki bersama dua buah bot kira-kira satu batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, dekat sini, Selasa lalu.
Terdahulu, Hamzah menghadiri Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di Sungai Dua di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia antara 22 hingga 57 tahun selain merampas lima pucuk pistol, selaras senapang M4 dan 801 butir peluru dalam kejadian berkenaan.
Hamzah berkata, berdasarkan siasatan awal, dua lelaki warga asing itu masuk ke negara ini melalui laluan sah, sebelum ke Thailand melalui jalan laut untuk mengambil semua senjata api tersebut di perairan antarabangsa.
Semua senjata api itu kemudiannya dibawa masuk ke negara ini dan dijual kepada pembeli di sini, yang dipercayai untuk kegiatan jenayah serta ke arah jenayah keganasan.
































