Pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat Ke-47 menimbulkam kegusaran global ekoran tindakan drastiknya mengubah dasar domestik dan antarabangsa negara itu.
Donald Trump baru kira-kira seminggu mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang Ke-47. Dalam tempoh ini, seluruh dunia terutama negara-negara kecil dan membangun menunggu dengan penuh debar apakah polisi berkaitan dengan mereka yang akan dibatalkan oleh Trump. Apakah natijah kepada negara mereka?
Menurut Utusan Malaysia, begitu juga dengan negara kita. Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos Switzerland minggu lalu sudah memberi bayangan bahawa pelantikan Trump akan membawa sedikit ketidaktentuan kepada dunia.
Ada seorang kawan bertanya apa kena-mengena dengan kita Malaysia? Kenapa takut sangat dengan dasar-dasar Trump dan AS ini?
Sebenarnya, ia bukan soal takut, tetapi soal kesan dan tempias dasar-dasar AS di bawah Trump ini kepada negara kita dan kepada rakyat Malaysia.
Kemajuan dan pembangunan yang kita nikmati sekarang ini bukannya disebabkan Malaysia ini sebuah negara yang bergantung kepada diri sendiri.
Kita adalah negara dagang di mana hasil mahsul negara akan dieksport ke luar negara. Salah satu rakan eksport kita yang terbesar adalah AS.
Tahun lepas AS adalah rakan eksport kita yang kedua terbesar selepas Singapura. Nilai barang yang kita jual kepada negara kuasa besar itu adalah sekitar RM450 bilion. Selain itu, kita turut terima pelaburan langsung asing dari mereka sebanyak sekitar RM20 bilion setahun.
Hubungan dagang dua hala AS-Malaysia pada tahun lalu meningkat sebanyak 29.1 peratus dan jika aliran ini berterusan, Malaysia bakal muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar AS di rantau ASEAN.
Pertumbuhan itu tidak hanya berkaitan angka, tetapi turut membabitkan kerjasama meluas antara firma AS dan Malaysia serta syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini serta rakan dagang di AS yang menerima barang eksport kita.
Kita mungkin tidak sedar bahawa pelaburan AS juga telah berjaya mewujudkan hampir 312,815 pekerjaan di Malaysia. Apa akan berlaku jika pelaburan ini terhenti? Akan ada anak cucu kita hilang kerja.
Ini bermakna ekonomi kita amat bergantung kepada AS. Perubahan dasar negara tentu akan memberi kesan yang tidak dapat dielak kepada kita.
Kita boleh menghasilkan banyak produk sofistikated dan maju serta meningkatkan lagi kedudukan dalam rantaian nilai jika ada negara seperti AS yang membelinya.
Contohnya, kita tidak ada masalah untuk menghasilkan komponen pesawat, peralatan aeroangkasa, semikonduktor dan pembuatan wafer serta litar elektronik bersepadu kerana kita boleh menjualnya kepada negara seperti AS.
Hubungan ekonomi Malaysia-AS sejak tahun 2021 merangkumi pelaburan langsung asing bernilai lebih RM150 bilion. Nilai yang cukup besar yang boleh meranapkan ekonomi kita jika AS tiba-tiba mengubah polisi pelaburan luarnya.
Sebab itu, Perdana Menteri berkata, kita perlu membina kekuatan sendiri. Perlu ada ketahanan daripada segi politik dan ekonomi bagi menghadapi semua ini. Jika tidak, apabila pemimpin kuasa besar dunia seperti Trump berdehem pun kita sudah goyang.
Ini realiti yang kita tidak boleh sangkal dan kena terima. Walaupun pahit tetapi terpaksa kita telan kerana kita tidak ada kekuatan untuk berdiri sendiri. Lebih-lebih lagi apabila dalam negara pun kira bergaduh sesama sendiri.
Mari lihat kepada dasar kewangan atau dalam istilah ekonomi dipanggil dasar monetari. Semuanya bergantung kepada AS. Tengok kepada kadar dasar semalaman (OPR) yang menentukan turun naik faedah pinjaman kita. Beberapa hari lepas Bank Negara umum ia kekal pada 3.0. Kekal sebab tidak ada pergerakan pada kadar faedah di AS.
Sebab itu, kecenderungan Trump untuk menggubal dasar yang dilihat untuk melindungi kepentingan AS cukup membimbangkan kerana ia akan memberi tempias kepada ekonomi kita.
Ketika berkempen menjelang pilihan raya presiden AS November tahun lalu, Trump menjanjikan tindakan dalam lima bidang dasar ekonomi utama.
Antaranya dia berikrar pemotongan cukai yang mengakibatkan rangsangan sehingga AS$8–10 trilion, mengenakan 10–20 peratus tarif terhadap semua rakan dagang AS dan 60 peratus terhadap China. Menghantar pulang sehingga 11 juta pendatang tanpa izin, melancarkan gelombang penyahkawalseliaan ekonomi dan untuk mereformasi secara radikal birokrasi persekutuan, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ‘jumlah besar’ sisa.
Dia juga berjanji untuk membatalkan dasar pro-iklim pentadbiran Joe Biden, untuk menamatkan perang di Ukraine dan menggandakan usaha untuk mengekang akses China kepada teknologi AS.
Menamatkan perang Ukraine mungkin satu berita baik untuk kita, tetapi menaikkan tarif kepada semua rakan dagang dan reformasi kawal selia ekonomi boleh menyebabkan kita ketar lutut.
Di peringkat antarabangsa, ciri yang paling menarik dalam kenyataan pasca pilihan raya Trump adalah mengenai sikap agresifnya terhadap beberapa sekutu terdekatnya sendiri.
Ia termasuk ancaman untuk mengenakan 25 peratus tarif ke atas perdagangan dengan Kanada dan Mexico dan tuntutan agar Denmark, yang merupakan anggota NATO dan sekutu rapat AS, menjual Greenland (sebahagian daripada wilayah berdaulatnya) ke AS. Trump seterusnya enggan menolak paksaan dan paksaan ekonomi dalam memastikan objektif ini termasuk memperbaharui kawalan AS ke atas Terusan Panama.
Sebab itu, ada yang berpendapat, jika Trump boleh memberikan tekanan seperti itu kepada sekutu rapatnya sendiri, bayangkan apa yang dia boleh laku kepada negara-negara yang kurang berkepentingan kepadanya.
Walaupun tiada siapa dapat meramalkan dengan pasti apa sebenar akan berlaku, tetapi Trump dilihat nekad untuk membawa perubahan mendalam kepada landskap ekonomi dan kawal selia AS.
Pasaran baharu, pelaburan mampan, dan pelbagai sektor semuanya akan merasakan kesan dasar beliau. Walaupun sesetengah industri dan negara mungkin mendapat manfaat daripada penyahkawalseliaan dan pemotongan cukai, implikasi yang lebih luas mungkin termasuk peningkatan turun naik pasaran, risiko alam sekitar dan cabaran kepada dinamika perdagangan global.
Bagaimanapun Malaysia sebagai sebuah negara dagang perlu melihat ke hadapan. Yang penting, kita sentiasa ada opsyen dan potensi yang kita boleh eksploitasi daripada kerumitan yang bakal mendatang.
Peralihan ekonomi dan kawal selia di bawah pentadbiran Trump sudah pasti akan membentuk landskap global dengan cara yang ketara, menuntut analisis yang teliti dan tindak balas strategik daripada perniagaan, pelabur dan penggubal dasar kita.


































