Tun Musa bersalaman dengan para jemaah sejurus tiba di Masjid Daerah At-Taqwa Keningau.
KENINGAU: Selepas Daerah Beaufort, hari ini Keningau menjadi lokasi pilihan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman untuk menunaikan solat Jumaat.
Beliau yang tiba di Masjid At Taqwa Keningau pada jam 12.32 tengah hari tadi, disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif serta ahli-ahli jawatankuasa masjid berkenaan.
Tun Musa mengikuti khutbah bertajuk “Bencana Alam Peringatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala Agar Tidak Sombong dan Zalim” yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Kalana Lias, sebelum menyertai kira-kira 500 jemaah menunaikan solat yang diimamkan oleh Imam Masjid Daerah At-Taqwa Kiflie Yasoi.
Usai solat, beliau turut meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk menyantuni para jemaah termasuk jemaah cilik.
Pada 4 Januari lalu, Tun Musa menunaikan solat Jumaat di Masjid Akhbar Khan Kampung Bingkul, Beaufort iaitu daerah kelahirannya, manakala Keningau merupakan daerah asal allahyarhamah bondanya.
































