Seorang lelaki menarik kanak-kanak yang duduk di atas kereta luncur melintasi taman yang dilitupi salji tebal di Marsden, utara England.
LONDON: United Kingdom (UK) merekodkan malam Januari paling sejuk dalam tempoh 15 tahun, dengan suhu dijangka jatuh serendah -20 darjah Celsius di beberapa lokasi.
Menurut Utusan Malaysia, Altnaharra di Sutherland, wilayah paling utara di Highlands, mencecah paras terendah -17.3 darjah Celsius pada pukul 9 malam Jumaat lalu.
Ia adalah suhu semalaman pada Januari paling sejuk sejak 2010, apabila direkodkan di bawah -15 darjah Celsius beberapa kali di lokasi di seluruh UK, termasuk -22.3 darjah Celsius pada 8 Januari di Altnaharra.
Amaran kesihatan yang dikeluarkan di seluruh England dilanjutkan hingga Selasa, dengan suhu dijangka terus turun di seluruh UK pada hujung minggu.
“Cuaca ini boleh memberi kesan serius kepada kesihatan sesetengah orang, termasuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan sedia ada.
“Oleh itu adalah penting untuk kita terus memeriksa rakan, keluarga dan jiran yang paling kerap terdedah.
Mereka mungkin lebih berisiko mendapat serangan jantung, strok dan jangkitan dada akibat suhu sejuk,” kata agensi itu.
Amaran kuning untuk ais yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dilaksanakan di kebanyakan kawasan barat daya, Wales, Ireland Utara, utara Scotland, serta pantai timur England yang terbentang dari Northumberland ke Essex.
Ahli Meteorologi, Liam Eslick berkata, seluruh UK berkemungkinan akan turut melihat pembentukan fros dan ais yang agak teruk.
Salji dan angin menyebabkan gangguan perjalanan dengan laluan kereta api terpaksa ditutup.
Beratus-ratus sekolah di Scotland dan lebih 90 lagi di Wales ditutup sejak Khamis lalu.
Syarikat insurans kenderaan RAC berkata, pihaknya turut merekodkan tahap permintaan tertinggi untuk menyelamat dalam tempoh tiga hari sejak Disember 2022.

































