VATICAN : Lelaki gay kini dibenarkan untuk menjadi paderi dalam Gereja Katolik dengan syarat mereka kekal hidup bujang, menurut garis panduan baharu yang diluluskan oleh paderi Itali.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dilihat sebagai perubahan besar dalam amalan gereja, sedangkan sebelum ini golongan lelaki yang mempunyai ‘kecenderungan homoseksual mendalam’ dilarang menjadi paderi berdasarkan arahan pada 2016.
Garis panduan baharu tersebut menjelaskan pengarah seminari harus mengambil kira kecenderungan seksual calon paderi, tetapi hanya sebagai salah satu aspek dalam menilai keperibadian mereka secara menyeluruh.
“Apabila merujuk kepada kecenderungan homoseksual dalam proses pembentukan, adalah penting untuk tidak mengecilkan penilaian kepada aspek ini semata-mata, tetapi memahaminya dalam konteks keseluruhan keperibadian seseorang calon muda,” menurut garis panduan tersebut.
Walaupun belum jelas sama ada garis panduan itu akan diguna pakai di negara lain, langkah ini mencerminkan pendekatan lebih terbuka Gereja Katolik di bawah kepemimpinan Pope Francis, yang memegang jawatan sebagai pontiff sejak 2013.
Pope Francis dilihat lebih inklusif terhadap komuniti LGBTQ+, termasuk membenarkan pemberkatan pasangan sejenis dalam situasi tertentu. Namun, isu penerimaan lelaki gay sebagai paderi kekal menjadi topik sensitif.
Sebelum ini, Pope Francis pernah menyeru supaya calon seminari disaring dengan teliti dan memberi amaran keras kepada paderi yang terlibat dalam hubungan seksual untuk meninggalkan jawatan mereka.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Gereja Katolik untuk menyeimbangkan antara tradisi dan keterbukaan dalam menangani isu sensitif di era moden.


































