Orang ramai meletakkan bunga dan lilin di tugu peringatan sementara insiden tembakan di sekolah di Belgrade, Serbia.
BELGRADE: Ibu bapa kepada seorang remaja lelaki yang membunuh sembilan kanak-kanak dan pengawal keselamatan dalam kejadian tembakan beramai-ramai di sebuah sekolah di Serbia tahun lalu, kini menghadapi hukuman penjara.
Dalam serangan Mei 2023, remaja berusia 13 tahun itu membawa dua senjata api ke Sekolah Rendah Vladislav Ribnikar di Belgrade.
Menurut Utusan Malaysia, bapa remaja itu, Vladimir Kecmanovic, dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun enam bulan, manakala ibunya, Miljana Kecmanovic, dipenjara tiga tahun.
Jurulatih di kelab menembak Partizan yang mengajar remaja itu cara menggunakan senjata, turut menerima hukuman penjara setahun tiga bulan.
Remaja terbabit, yang ditempatkan di sebuah institusi psikiatri sejak serangan tersebut, tidak boleh dihadapkan ke mahkamah kerana di bawah umur tanggungjawab jenayah.
Bagaimanapun, ibu bapanya dituduh melakukan ‘tindakan serius terhadap keselamatan umum’ kerana gagal menyimpan senjata dan peluru dengan selamat.
Perbicaraan terhadap mereka diadakan secara tertutup.
Vladimir didapati bersalah oleh mahkamah tinggi di Belgrade pada Isnin, berhubung tuduhan membahayakan keselamatan awam dengan mengajar anaknya menembak serta gagal menyimpan senjata dimilikinya secara sah dengan baik.
Dia juga disabitkan bersalah atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak bawah umur.
Manakala, Miljana didapati bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak bawah umur, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki senjata dan peluru secara haram.
Remaja itu, yang hanya dikenali sebagai KK, dibawa ke mahkamah pada Oktober dengan kawalan khas, meninggalkan hospital psikiatri buat kali pertama sejak serangan di Sekolah Rendah Vladislav Ribnikar.
KK mendakwa dia menyesal atas insiden tembakan tersebut, namun tidak menjelaskan sebabnya melakukan perbuatan itu.
































