Kumpulan jemaah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, wilayah Aceh, selepas selesai menunaikan ibadah haji pada 10 Julai lalu.
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan Kementerian Agama mencari inisiatif untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji menjelang tahun depan.
Untuk tahun ini, kos menunaikan ibadah haji bagi setiap jemaah Indonesia ditetapkan sebanyak 56 juta rupiah (RM15,522).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Agama, Muhammad Syafii berkata, Prabowo meminta supaya usaha merasionalkan kos itu dibuat tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji.
Beliau mengesahkan Kos Perjalanan Haji (BIPIH) 2025 akan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, namun jumlah pengurangan itu masih perlu dibincangkan dengan Panitia Kerja (Panja) Komisi VIII Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia.
“Sesuai dengan apa yang menteri agama katakan, Presiden mahu pengurusan ibadah haji tahun depan lebih berkualiti.
“Namun, dalam masa yang sama beliau juga mahu melihat banyak kos yang boleh dirasionalkan, supaya kualitinya lebih baik dengan harga yang murah,” katanya di Kompleks Istana Presiden, kelmarin.
Sementara itu, Menteri Agama, Nasaruddin Umar menegaskan kecekapan kos bukan bermakna kualiti perkhidmatan akan dikurangkan.
Beliau menegaskan, penetapan BIPIH perlu mengambil kira pelbagai faktor luaran seperti inflasi, kadar pertukaran mata wang dan keadaan harga minyak.
“Selain itu, usaha membersihkan penyelewengan dalam pengurusan ibadah haji juga diharap dapat mengurangkan kos.
“Semangat kami adalah untuk mengurangkan kos melalui kecekapan, termasuk membersihkan penyelewengan,” katanya.


































