SEOUL: Sebuah pesawat membawa 181 orang terhempas di sebuah lapangan terbang di Korea Selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut Utusan Malaysia, Ibu Pejabat Perkhidmatan Bomba wilayah Jeolla Selatan berkata, jumlah korban dikhuatiri meningkat ketika operasi menyelamat diteruskan.
Pesawat itu dilaporkan tergelincir dari landasan dan merempuh tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di barat daya negara itu.
Pesawat Jeju Air 7C 2216 yang membawa 175 penumpang dan enam pramugari itu dilaporkan dalam penerbangan pulang dari Bangkok dan kemalangan itu berlaku semasa ia mendarat.
Seorang penumpang dan seorang anak kapal berjaya dibawa keluar dan perkhidmatan kecemasan kini cuba menyelamatkan mangsa di bahagian ekor pesawat.
Lapor Yonhap, pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan semua 173 penumpang warga Korea Selatan dan dua warga Thailand.
Menurut pihak bomba, kemalangan itu berpunca daripada kerosakan gear pendaratan yang mungkin disebabkan akibat serangan burung.


































