SYDNEY : Imej kabur dua jet pejuang tentera China yang kelihatan seperti rekaan baharu tular dalam internet sekali gus menunjukkan penggunaan teknologi yang canggih.
Bagaimanapun, Pakar Pertahanan berkata, pihaknya masih kekurangan maklumat bagi membuat kesimpulan mengenai jet pejuang itu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua reka bentuk tersebut tidak mempunyai ekor, bermakna pesawat ini tidak dilengkapi dengan penstabil menegak yang biasa digunakan untuk menstabilkan penerbangan.
Pesawat-pesawat jenis ini biasanya dikawal dengan bantuan komputer yang menafsirkan input daripada juruterbang.
Reka bentuk yang lebih besar adalah berbentuk berlian dengan tiga saluran udara untuk enjin, dua di samping badan pesawat dan satu di atasnya satu konfigurasi yang sangat luar biasa
Pesawat yang lebih kecil pula mempunyai susun atur yang lebih konvensional, juga tanpa ekor.
Kedua-dua pesawat ini tidak mempunyai sudut 90 darjah, satu ciri reka bentuk siluman yang bertujuan untuk mengurangkan pengesanan radar.
“Walaupun ada kelebihan dan kekurangannya, ia nampaknya adalah satu reka bentuk yang sangat asli.
“Mereka layak mendapat pujian. Ini seharusnya memecahkan rasa selesa AS dan sekutunya,” kata Penganalisis Kanan di Institut Dasar Strategik Australia, Euan Graham.
Kementerian Pertahanan China belum memberikan respons berhubung perkara itu.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pihaknya menyedari laporan tersebut, namun tidak memberi komen lanjut selain yang terkandung dalam laporan tahunan mengenai tentera China, pada bulan ini.
AS sedang giat melaksanakan program Penguasaan Udara Generasi Seterusnya (NGAD) yang bertujuan membangunkan pesawat tempur generasi keenam.
Namun, bentuk sebenar usaha ini belum jelas di bawah pentadbiran Presiden terpilih, Donald Trump.


































