BEIJING: Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki kerana terlibat dalam insiden rempuhan kereta yang mengorbankan 35 nyawa dan mencederakan 43 yang lain.
Menurut Utusan Malaysia, Fan Weiqiu, 62, didapati bersalah kerana membahayakan keselamatan awam selepas dia sengaja memandu kereta ke arah orang ramai yang sedang bersenam di luar kompleks sukan di wilayah Guangdong, pada 11 November lalu.
Mahkamah Rakyat Pertengahan Zhuhai turut melucutkan hak politik Fan seumur hidup.
Awal minggu ini, mahkamah lain di selatan China menjatuhkan hukuman mati tertangguh kepada seorang defendan berhubung kesalahan membahayakan keselamatan awam dalam kejadian yang mencederakan 30 orang, termasuk 18 pelajar sekolah rendah.
Keputusan segera dalam kedua-dua kes melibatkan hukuman mati menunjukkan kepantasan luar biasa bagi proses undang-undang dalam sistem kehakiman China.
Di China, hukuman mati masih menjadi aspek penting dalam sistem kehakiman, dengan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk dalam pelaksanaannya.


































