BEIJING: China meluluskan pembinaan empangan kuasa hidro terbesar di dunia, terletak di timur dataran tinggi Tibet, yang berisiko menjejaskan berjuta-juta penduduk di hilir sungai di India dan Bangladesh.
Menurut Utusan Malaysiaz empangan, yang terletak di bahagian hilir Sungai Yarlung Zangbo, dianggar mampu menghasilkan 300 bilion kilowatt-jam (kWh) elektrik setiap tahun, menurut anggaran diberikan Power Construction Corp of China pada 2020.
Projek empangan itu dijangka menghasilkan lebih daripada tiga kali ganda kapasiti 88.2 bilion kWh empangan Tiga Gorges, yang kini terbesar di dunia, di tengah China.
Ia akan memainkan peranan utama dalam memenuhi matlamat kemuncak karbon dan neutraliti karbon China, merangsang industri berkaitan seperti kejuruteraan, serta mencipta peluang pekerjaan di Tibet.
Perbelanjaan untuk membina empangan itu, termasuk kos kejuruteraan, dijangka mengatasi empangan Tiga Goreges yang menelan belanja AS$34.83 bilion (RM155.7 bilion).
Ini termasuk pemindahan 1.4 juta orang yang terjejas dan lebih daripada empat kali ganda anggaran awal iaitu sebanyak 57 bilion yuan.
Pihak berkuasa belum menyatakan jumlah penduduk yang akan dipindahkan oleh projek di Tibet dan kesannya terhadap ekosistem tempatan.
Namun, menurut pegawai China, projek kuasa hidro di Tibet tidak akan memberi impak besar kepada alam sekitar atau bekalan air hilir.
Bagaimanapun, India dan Bangladesh menyuarakan kebimbangan mengenai empangan tersebut kerana projek itu bukan sahaja berpotensi mengubah ekosistem tempatan, bahkan aliran sungai di hilir.


































