Kumpulan dipercayai pasangan dari Malaysia yang telah melangsungkan pernikahan di Songkhla menunggu untuk mendapatkan surat perakuan pernikahan di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Songkhla, Thailand.
SONGKHLA, THAILAND: Pasangan dari Malaysia yang bernikah di Thailand perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih besar berikutan peraturan baharu bagi mendapatkan surat perakuan selepas bernikah dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Songkhla di sini.
Menurut Utusan Malaysia, ia berikutan surat perakuan pernikahan hanya dikeluarkan oleh pihak konsulat tiga hari selepas pernikahan dilangsungkan di sini, berbanding hanya dua hari sebelum ini.
Ini bermakna, setiap pasangan perlu berada lebih lama di negara itu, sekali gus meningkatkan kos seperti bayaran hotel, makanan dan pengangkutan serta bayaran atau upah ejen yang menguruskan pernikahan.
Seorang ejen pernikahan dari Malaysia berkata, tidak ramai yang mengetahui peraturan baharu itu sehingga menimbulkan rungutan.
Menurutnya, tempoh tiga hari untuk surat perakuan nikah yang keluarkan oleh pihak konsulat itu dipercayai menyebabkan kos perbelanjaan bertambah kerana perlu menunggu lebih lama.
“Sebelum ini, pasangan yang sudah melangsungkan pernikahan di sini hanya menunggu dua hari untuk surat perakuan pernikahan dikeluarkan.
“Untuk tempoh dua hari menunggu, secara purata kos melibatkan penginapan, makanan dan pengangkutan serta upah ejan nikah sekitar RM2,800.
“Namun disebabkan tempoh untuk surat perakuan nikah dikeluarkan ditambah kepada tiga hari, bermakna kos perlu ditanggung setiap pasangan naik sehingga RM4,000.
“Hal ini memang menimbulkan rungutan dalam kalangan pasangan dari Malaysia yang bernikah di sini, namun terpaksa akur dengan arahan ditetapkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, surat perakuan pernikahan dikeluarkan oleh pejabat konsulat di sini penting bagi mengesahkan pernikahan yang dijalankan adalah menepati syarat-syarat dikehendaki.
Katanya, surat perakuan nikah itu juga mengesahkan pernikahan dilakukan di tempat yang telah ditentukan dan yang mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Thailand serta diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, difahamkan hanya lima tempat pernikahan di Selatan Thailand diiktiraf oleh Jakim, iaitu pernikahan mestilah dilakukan di Pejabat Agama Islam Wilayah Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun.
“Difahamkan, KJM tidak akan mengeluarkan surat perakuan pernikahan kepada pasangan yang bernikah selain daripada pejabat agama Islam lima wilayah tersebut,” katanya.
Menurutnya, sekiranya pasangan tidak mendapat surat perakuan pernikahan atau permohonan mendapat surat perakuan pernikahan ditolak oleh KJM, bermakna pernikahan dijalankan adalah diragukan dan tidak mendapat pengiktirafan Majlis Agama Thailand.
Dia difahamkan surat pengesahan pernikahan KJM bukan hanya untuk mengesahkan pernikahan tetapi juga termasuk jika berlaku perceraian terhadap pasangan bernikah di sini.
Ujarnya, sebelum melangsungkan pernikahan, pasangan perlu mengemukakan permohon untuk bernikah bersama dokumen diperlukan kepada pejabat konsulat di sini, antaranya salinan kad pengenalan pasangan, halaman utama pasport atau pas sempadan dengan cop Jabatan Imigresen semasa memasuki negara Thailand.
“Dokumen lain diperlukan ialah surat nikah serta surat pengesahan nikah daripada pejabat agama tempat melakukan pernikahan dan beberapa dokumen lain yang melibatkan status diri wanita yang hendak bernikah,” katanya.
Sementara itu katanya, pemohon juga perlu membayar 100 baht bagi setiap helaian dokumen dikemukakan.
“Permohonan untuk mendapatkan surat perakuan pernikahan hanya boleh dilakukan oleh pemohon sahaja dengan hadir sendiri di pejabat konsulat di sini.
“Mana-mana pihak selain itu tidak dibenarkan mendapatkan surat perakuan nikah. KJM di Songkhla tidak pernah mewujudkan sebarang perkhidmatan permohonan melalui pos atau sebarang alternatif yang lain bagi mengeluarkan surat perakuan nikah,” katanya.
Menurutnya, setiap pernikahan dilakukan di Selatan Thai mestilah dilakukan di tempat yang mendapat kelulusan dan pengiktirafan Majlis Agama Islam Thailand dan Jakim.
Katanya, setiap proses pernikahan pasangan dari Malaysia mestilah mendapat surat perakuan aktiviti itu daripada pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi membolehkan pendaftaran pernikahan dapat dilakukan di Malaysia.
“Kegagalan mendapatkan surat perakuan daripada KJM akan mengundang pelbagai masalah di kemudian hari terhadap pasangan yang bernikah di sini,” katanya.


































