JAKARTA: Sindiket wang palsu di Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Indonesia terbongkar selepas 14 tahun beroperasi.
Menurut Utusan Malaysia, kes tersebut didalangi Ketua Perpustakaan UIN Alauddin Makassar, Andi Ibrahim, yang dipercayai dihasilkan di kampus Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan.
Detik.news melaporkan, operasi percetakan dan pengedaran wang palsu di universiti tersebut bermula sejak tahun 2010.
Kes itu terbongkar selepas pihak polis menangkap seramai 17 individu yang dinamakan sebagai suspek, bulan ini.
“Jangka masa untuk membuat dan mengedar wang palsu bermula dari Jun 2010, sudah lama.
“Kemudian berlanjutan dari 2011 hingga 2012,” kata Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan, Yudhiawan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gowa, kelmarin.
Beliau berkata, rancangan pengeluaran wang palsu itu sempat terhenti, sebelum suspek membuat persiapan teliti sehingga kembali beroperasi pada 2022.
“Pada Julai 2022, mereka merancang semula pengeluaran. Jadi, jika dilihat dari sekarang, perancangan ini bermula dari 2022 dan pada 2010, ia masih dalam peringkat pengenalan,” katanya.
Menurut Yudhiawan, suspek membeli mesin cetak dan memesan kertas pada Oktober 2022, sebelum memulakan pengeluaran wang palsu pada Mei tahun ini.
Katanya, mesin cetak wang palsu tersebut diimport dari China, manakala kertas dan dakwat dibeli dari Surabaya.
Beliau berkata, polis mengenal pasti dua lokasi yang menjadi pusat operasi sindiket itu, iaitu rumah suspek utama di Kota Makassar dan bangunan perpustakaan UIN Alauddin di Kabupaten Gowa.
































