Pelumba pasukan Mercedes Lewis Hamilton mempamerkan kemahiran memandu di hadapan penonton di litar Yas Marina, selepas berakhir perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi.
ABU DHABi: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton menyifatkan masa dan kariernya bersama pasukan itu sebagai ‘penghormatan terbesar dalam hidup’, selepas perlumbaan terakhirnya untuk Mercedes di Grand Prix (GP) Abu Dhabi, Isnin.
“Setiap saat saya berada di dalam kereta minggu ini, saya tahu ia adalah salah satu yang terakhir dan ia amat sukar untuk dilepaskan.
“Saya berbangga dengan setiap perlumbaan, setiap petak pertama, setiap kemenangan, setiap kejuaraan yang kami perolehi bersama. Saya bangga dengan semua orang,” kata Hamilton
Menurut Utusan Malaysia, Hamilton menyertai Mercedes pada 2013, yang mana beliau telah membawa enam gelaran bersama mereka, dan 84 kemenangan sepanjang 12 musim bersama pasukan itu.
Beliau mengumumkan akan meninggalkan Mercedes sebelum musim 2024 bermula Mac lalu dan akan menyertai pasukan seteru, Ferrari berganding bersama Charles Leclerc.
“Ia adalah tahun yang sangat mencabar. Mungkin tahun yang paling lama dalam hidup saya akan katakan, kerana saya tahu dari awal bahawa saya akan pergi.
“Ia seperti hubungan apabila anda telah memberitahu rakan sejawatan bahawa anda akan pergi, tetapi anda tinggal bersama selama setahun. Banyak turun naik secara emosi, tetapi kami menamatkannya dengan tahap yang tinggi hari ini,” katanya.
Dalam perlumbaan GP Abu Dhabi kelmarin, Hamilton berjaya menduduki tempat keempat di belakang Leclerc, Carlos Sainz dan Lando Norris selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-16


































