Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan enam jenis penyakit bawaan air yang dihadapi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif di seluruh negara, setakat Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, enam penyakit yang dikenal pasti ialah jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) dengan 7,304 kes, diikuti gastroenteritis akut sebanyak 317 kes dan konjunktivitis (radang mata) dengan 197 kes.
Kata beliau, sebanyak 20 kes cacar air, 13 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta dua kes Covid-19 turut dikesan di PPS yang terlibat daripada 34,503 individu yang menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Setakat ini tiada kes demam kepialu, penyakit kencing tikus dan wabak lain yang dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.
“Bagi pesakit Covid-19 pula, pegawai perubatan akan terus memantau situasi ini dan menetapkan garis panduan untuk mengasingkan mereka supaya penyakit ini tidak merebak,” katanya selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini kelmarin.
Jumlah mangsa banjir kembali menunjukkan peningkatan setakat 4 petang tadi susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Rabu ini.
Dua negeri di pantai timur kembali membuka semula PPS melibatkan Terengganu dan Pahang.


































