Ebit Lew diiringi peguamnya, Ram Singh (kiri) semasa hadir di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.
TENOM: Katil tempat pengadu yang juga saksi kesembilan bermesej antara bukti baharu yang dikemukakan kepada Mahkamah Majistret, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, saksi ke-12, Koperal Andria Anak Empeny memberitahu mahkamah bahawa antara lapan keping gambar yang diambil olehnya selaku jurugambar PDRM adalah gambar katil tempat pengadu bermesej.
Saksi menerangkan kepada mahkamah antara gambar yang telah diambil di lokasi kejadian adalah gambar rumah pengadu, ruang tamu, bilik tidur utama, katil tempat pengadu bermesej, gambar kepala katil dan langsir serta gambar kepala katil dari jarak dekat.
Walau bagaimanapun, dia memberitahu mahkamah gambar-gambar itu tidak dimasukkan ke dalam cakera padat (CD) kerana komputer yang digunakan untuk memindahkan imej digital berkenaan telah mengalami kerosakan. Namun, lapan gambar yang diambil di lokasi kejadian telah dicetak.
Anggota PDRM memberi keterangan itu semasa pemeriksaan utama dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin.
Pendakwaan memanggil saksi baharu susulan pemeriksaan semula ke atas saksi kesembilan iaitu pengadu terpaksa ditangguhkan hari ini susulan pengadu kurang sihat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah, semasa mahkamah berehat saksi kesembilan telah muntah dan jantungnya berdegup laju.
Saksi kini berada di hospital dan akan dipanggil semula esok bagi memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan semula.
Justeru, pihak pendakwaan memohon arahan mahkamah dan pihak pendakwaan mempunyai saksi baharu iaitu jurugambar untuk memberi keterangan.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan.
































