Anwar Ibrahim dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua dari kanan) dalam Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang kelmarin.
PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berjaya melakukan rundingan dengan kerajaan India dalam usaha untuk menurunkan harga beras import dari negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, rundingan itu dibuat sebagai alternatif berikutan kekurangan bekalan beras tempatan yang dihadapi negara ketika ini.
“Ya, beras tempatan ada masalah juga, sikit. Tapi, sekarang ini, harga beras import pun dah turun sikit sebab kita berjaya runding dengan kerajaan India.
“Baru-baru ini saya (dah) ke negeri dia (India). Runding sikit-sikit dengan harga lebih murah supaya dapat ringankan beban masyarakat,” kata Anwar ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah di sini, kelmarin.
Sempena program itu juga, sebanyak 200 kampit beras dan 1,000 ekor ayam diagih secara percuma khususnya kepada mereka yang membuat pembelian bernilai RM50 dan ke atas.
Dalam pada itu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) bagi Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, selain ayam dan beras, pelbagai jenis ikan dan makanan laut sebanyak lima tan turut dijual dengan potongan harga istimewa sempena program berkenaan.
“Sejak bulan Februari, hampir 300 ‘event’ (program Jualan Madani) telah kita lancarkan. Kita pertahankan konsep yang ada iaitu beli secara pukal di pelbagai sumber, kita ‘cut the supply chain’ (pintas rantaian bekalan) dan ‘kita bantu kita’,” ujar beliau.
Tambahnya, sebanyak RM5.27 juta hasil jualan juga berjaya diraih sepanjang tempoh itu dengan rakyat telah menerima penjimatan sehingga RM1.05 juta.
“Sekarang, hampir di mana-mana sahaja, kita akan diminta untuk mengadakan jualan (Madani). di kawasan penempatan, komuniti sekolah dan sebagainya. Kita akan jadi ‘crowder puller’ (penarik orang ramai) untuk jualan ini,” katanya.


































