Logo TikTok dipaparkan di luar pejabat syarikat aplikasi media sosial TikTok di Culver City, California.
WASHINGTON: Usaha TikTok untuk membatalkan undang-undang yang boleh menyebabkan platform itu diharamkan atau dijual di Amerika Syarikat (AS) mulai awal 2025, ditolak.
Menurut Utusan Malaysia, ini selepas Mahkamah Rayuan Persekutuan AS mengekalkan undang-undang menetapkan ByteDance, syarikat pemilik TikTok yang berpangkalan di China, untuk melepaskan kepentingannya dalam aplikasi video pendek popular itu.
Syarikat media sosial itu berharap mahkamah akan menyokong hujahnya bahawa undang-undang tersebut tidak berperlembagaan kerana memberi kesan besar terhadap kebebasan bersuara 170 juta pengguna TikTok di AS.
Namun, mahkamah mengekalkan undang-undang, yang dikatakan kemuncak tindakan meluas dan bipartisan oleh Kongres serta presiden terdahulu.
AS mahu TikTok dijual atau diharamkan kerana dakwaan pemiliknya mempunyai hubungan dengan kerajaan China, meskipun tuduhan itu dinafikan oleh ByteDance.
Mahkamah bersetuju bahawa undang-undang tersebut dirangka dengan teliti untuk menangani kawalan musuh asing dan sebahagian usaha untuk menangkis ancaman keselamatan negara yang ditimbulkan oleh Republik Rakyat China (PRC).
Bagaimanapun, TikTok menegaskan keputusan itu bukan penghujung kepada perjuangan undang-undangnya.
TikTok berkata, pihaknya akan merayu ke Mahkamah Agung, yang boleh memilih untuk mengambil kes itu atau membiarkan keputusan mahkamah rayuan kekal.
“Mahkamah Agung mempunyai rekod sejarah yang kukuh untuk melindungi hak kebebasan bersuara rakyat Amerika, dan kami menjangkakan mereka akan melakukan perkara sama dalam isu perlembagaan penting ini,” kata ByteDance.
Bahkan, kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden 2024 juga mungkin memberi harapan kepada aplikasi tersebut di AS.
Walaupun gagal mengharamkan TikTok semasa penggal pertama pada 2020, Trump pada November lalu mendakwa tidak akan membenarkan larangan terhadap aplikasi itu.
Trump akan mengambil alih pemerintahan secara rasmi pada 20 Januari, sehari selepas undang-undang menetapkan TikTok diharamkan atau dijual.


































