GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara dunia untuk meningkatkan pengawasan terhadap virus selesema burung selepas kes pertama dikesan pada kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Wabak serta Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, jangkitan selesema burung H5N1 pada manusia dikesan dalam jumlah kecil tetapi menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Apa yang kita perlukan di seluruh dunia, di AS dan luar negara, adalah pengawasan lebih kukuh terhadap haiwan, burung liar, unggas dan binatang yang diketahui terdedah jangkitan, termasuk babi dan lembu tenusu, untuk lebih memahami penyebaran virus ini,” katanya dalam sidang media, semalam.
H5N1 pertama kali muncul pada 1996, namun sejak 2020, jumlah wabak dalam kalangan burung meningkat secara mendadak, di samping peningkatan jangkitan kepada mamalia.
Strain ini menyebabkan kematian puluhan juta unggas, dengan burung liar dan mamalia darat dan laut turut dijangkiti.
Kes manusia yang direkodkan di Eropah dan AS sejak peningkatan virus ini, kebanyakannya bersifat ringan.
Mac lalu, jangkitan dikesan di beberapa kawanan lembu tenusu di seluruh AS.
Pihak berkuasa kesihatan AS percaya risiko untuk orang awam adalah rendah, meskipun berpotensi tinggi mengancam pekerja ternakan haiwan termasuk burung serta lembu tenusu.
Jumaat lepas, pihak berkuasa AS mengumumkan seorang kanak-kanak di California menjadi kes pertama di negara itu, yang disahkan positif selesema burung.
Kanak-kanak tersebut hanya menunjukkan gejala ringan dan dilaporkan sedang pulih di rumah selepas menerima rawatan antivirus selesema.
“Termasuk kes terkini, 55 kes jangkitan H5 selesema burung pada manusia dilaporkan di AS sepanjang 2024, dengan 29 kes di California,” kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.